Masing negarawan berjiwa besar, bantu eratkan semangat perpaduan negara - Muhyiddin

Syafik Shukri Jalil
Oktober 31, 2021 14:22 MYT
Muhyiddin berkata, jasa bakti mendiang kepada negara dan Sarawak adalah tidak terhitung nilainya dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai. - Facebook/MuhyiddinYassin
KUALA LUMPUR: Pemergian Tan Sri James Jemut Masing merupakan satu kehilangan besar kerana mendiang merupakan seorang tokoh politik yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Pengerusi Parti Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mendiang juga disifatkan pemimpin yang menjunjung integriti dan bekerja keras bagi kemajuan serta kemakmuran negara dan Sarawak.
‘’Jasa bakti beliau kepada negara dan Sarawak adalah tidak terhitung nilainya dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai.
"PN amat menghargai sumbangan beliau sebagai seorang negarawan berjiwa besar yang banyak membantu mengukuhkan dan mengeratkan lagi semangat perpaduan negara.
‘’Saya yang secara peribadinya telah kehilangan seorang sahabat baik, berharap seluruh ahli keluarga mendiang agar dapat tabahkan hati menghadapi saat yang menyedihkan ini,’’ katanya.
BACA: Masing pemimpin berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan wibawa - PM
BACA: Abang Johari sebak, pemergian Masing satu kehilangan besar buat Sarawak
Masing, 72, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya, pada jam 7.05 pagi Ahad.
Mendiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh itu, dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 28 September lalu akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19.
BACA: James Jemut Masing meninggal dunia
Selepas kesihatannya semakin merosot, beliau dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah, minggu lalu.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
#James Jemut Masing #Muhyiddin Yassin #Parti Rakyat Sarawak #COVID-19
;