Masih terlalu awal kaitkan kematian Kim Jong Nam dengan ejen khas - Pengarah Cawangan Khas

Bernama
Februari 17, 2017 04:58 MYT
Van jenazah dipercayai membawa mayat Kim Jong Nam meninggalkan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya pada Khamis lalu. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai keterlibatan ejen khas luar negara dalam kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, Isnin lepas.
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan sedang berjalan dan kes itu dianggap rumit.
Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila ditanya mengenai kemungkinan pembunuhan itu melibatkan ejen khas luar negara.
Setakat ini polis menahan dua wanita yang memegang pasport asing dan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes itu.
Mohamad Fuzi bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya latar belakang ketiga-tiga mereka.
Isnin lepas, Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita dikatakan menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.
Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
-- BERNAMA
#cawangan khas #kematian #kim jong nam #Mohamad Fuzi Harun