"Masih seperti James yang dulu... paling penting tidak sombong" - Adik mendiang Masing

Afiezul Samit
November 3, 2021 20:40 MYT
Menambah rawan di hati apabila sekujur tubuh insan tersayang yang tidak pernah melupakan asal usul dan keluarga diturunkan ke liang kubur. - Astro AWANI
KUCHING: "Masih seperti James yang dahulu... yang sentiasa mengambil berat akan kami (adik beradik) dan paling penting tidak sombong.
Itu luahan adik kepada mendiang Tan Sri James Jemut Masing, Katherine Bawang Masing yang ditemui Astro AWANI di Dewan Utama, Persatuan Gereja-Gereja Sarawak, Kuching pada Rabu.
Hati adik mana yang tidak luluh apabila dua abang kandungnya iaitu mendiang Masing dan seorang lagi Jantai Masing (2 Jun 2021) meninggal dunia akibat virus jahat COVID-19.
Menambah rawan di hati apabila sekujur tubuh insan tersayang yang tidak pernah melupakan asal usul dan keluarga diturunkan ke liang kubur.
"Siapa yang tidak sedih. Dari dahulu dia (mendiang Masing) tidak berubah. Kebajikan keluarga menjadi keutamaannya.
"Dia selalu menyembunyikan kesusahannya termasuk ketika sakit kerana tidak mahu melihat kami (adik beradik) susah hati," katanya sambil menyeka air mata.
Pemergian Masing | Mendiang tidak suka susahkan ahli keluarga - Adik
Walaupun memakai pelitup muka ketika ditemu bual, raut wajah dan ekor mata Katherine tidak dapat menyembunyikan kesedihan.
Mengimbau detik lalu, sebagai abang sulung, sejak zaman sekolah lagi Masing telah pandai berdikari dan membantu ibu dan bapanya menguruskan keluarga.
"Bapa kami meninggal dunia pada tahun 1973 ketika itu mendiang masih menuntut di New Zealand manakala saya berada di tingkatan lima.
"Mendiang kemudian ambil alih peranan sebagai ketua keluarga dan dia adalah tempat bergantung dan mengadu seluruh ahli keluarga.
BACA: James Jemut Masing selamat disemadikan jam 2.30 petang tadi
BACA: James Jemut Masing meninggal dunia
Ditanya bagaimana mendapat berita duka pemergian Masing, Katherine berkata, berita itu disampaikan anaknya yang memaklumkan Masing sudah meninggal dunia.
"Itulah saya cakap tadi, apabila sakit mendiang tidak pernah beritahu termasuk apabila dia disahkan dijangkiti COVID-19. Saya tahu daripada orang lain.
"Saya cukup faham kerana itulah perangai mendiang yang tidak mahu ahli keluarga risau," katanya yang bergegas ke Kuching dari Bintulu sebaik sahaja mendengar perkhabaran duka itu.
Sambil menyeka air mata yang tumpah, Katherine berkata, kali terakhir berjumpa mendiang Masing adalah pada 5 September lalu ketika mendiang berkunjung ke sebuah rumah panjang di Bintulu.
Tiada yang diharapkan agar mendiang Masing tenang di sana dan terima kasih kepada semua rakyat atas doa yang dititipkan.
#pengalaman adik mendiang Masing #Masing abang terbaik #Pemergian Masing #virus COVID-19
;