Masih ramai sukar beri bantuan kepada rakyat Syria - NGO

Bernama
Julai 5, 2016 15:25 MYT
Antara kanak-kanak Syria yang hadir pada Program Misi Kemanusiaan Migrasi Syria Berbelanja sempena menyambut Hari Raya Puasa di sebuah pasaraya besar di Subang Jaya hari ini. - fotoBERNAMA
Masyarakat di negara ini dilihat masih belum mempunyai kesedaran dan pengetahuan mencukupi tentang nasib rakyat Syria yang amat memerlukan bantuan dan sokongan pihak luar berikutan pergolakan di negara mereka.
Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Syria Care Malaysia Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata di sebalik paparan media tempatan mengenai pergolakan itu, masyarakat tempatan masih kabur tentang tanggungjawab yang perlu digalas bagi meringankan beban rakyat Syria.
"Banyak juga perkongsian dibuat dalam laman sosial tentang perkara ini dan ramai yang menzahirkan simpati namun, ia terhenti setakat itu sahaja. Adakah ini akan mengubah situasi di sana?.
"Bayangkan anak-anak kecil perlu menghadap 'hujan bom', hilang tempat tinggal, tiada makanan dan sentiasa dibayani maut akibat perang di negara mereka," katanya kepada Bernama.
Setelah lima tahun berkhidmat dengan NGO berkenaan, Siti Sakinah turut menepis tanggapan bahawa 'perjuangan' itu menjurus kepada keperluan untuk turut berada di medan peperangan.
"Ramai yang bertanya dan menyuarakan hasrat untuk ke Syria dan menjadi sukarelawan tetapi hakikatnya, bukan senang nak masuk ke sana (sempadan). Adalah lebih baik membantu dari sini (Malaysia)," jelasnya.
Menurutnya sokongan termasuk bantuan kewangan dan kebendaan, doa serta hebahan bagi meningkatkan kesedaran ramai merupakan perjuangan terbaik yang boleh dilakukan dalam mengatasi penderitaan yang dialami rakyat Syria.
"Mungkin sumbangan sebegini nampak remeh namun, sekiranya majoriti masyarakat kita terus berdiam maka, lebih ramai saudara Syria kita akan terus dibunuh," katanya.
Beliau menjelaskan kesukaran melepasi sempadan Syria menyebabkan pihaknya bekerjasama dengan enam NGO dari negara bergolak itu untuk menyalurkan bantuan ke enam kawasan berlainan.
Kemelut di Syria bermula pada 2011 dan sehingga kini, jumlah korban dilaporkan menghampiri 500,000 orang selain menyumbang kepada krisis pelarian.
#Syria #Syria Care Malaysia
;