Tahap pemahaman golongan ibu bapa di kampung terhadap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan anak-anak yang berusia antara 5 hingga 7 tahun masih lagi rendah di sekitar jajahan ini.
Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Pasir Mas, Wan Nazira Wan Nawi berkata, berpandukan kepada tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati golongan ibu bapa di kawasan kampung dilihat kurang memberikan penekanan terhadap aspek kebersihan bagi mencegah anak-anak mereka daripada jangkitan HFMD.
"Situasi ini agak berbeza dengan kawasan bandar yang sememangnya peka dengan masalah tersebut.
"Bagaimanapun, kita ambil serius perkara ini dan sebab itulah pihak jabatan turun padang ke Tabika Perpaduan untuk memberikan penerangan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Pertandingan Bento Box dan Pemeriksaan Kesihatan Sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Tabika Perpaduan Sri Embun dan KRT Sri Embun.
Menurutnya, penerangan berterusan ini bagi memastikan golongan ibu bapa memahami bahaya penyakit HFMD jika menyerang anak-anak mereka.
Katanya, konsep mencegah lebih baik daripada mengubati perlu ditekankan bagi membendung penularan HFMD.
"Jadi, kami amat berharap agar ibu bapa dapat memberikan perhatian khusus terhadap isu ini," katanya.
Wan Nazira berkata, pihaknya amat berharap golongan ibu bapa dapat memberikan penekanan berkaitan aspek kebersihan.
Katanya, aspek itu dititik beratkan sejak diusia kanak-kanak lagi melibatkan semua aspek bukan sahaja berkait rapat dengan HFMD.
"Penjagaan kebersihatan ini amat penting bagi memastikan anak-anak sentiasa sihat sekaligus tidak merencatkan tumbesaran mereka," katanya.