Masih ramai dakwa tidak mengetahui PKPB di Kelantan - Polis

Bernama
November 22, 2020 19:38 MYT
Anggota polis trafik mengawal lalu lintas di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Pasir Pekan berikutan pelaksanaan PKPB di negeri Kelantan yang bermula semalam ketika tinjauan fotoBernama hari ini. - BERNAMA
KOTA BHARU: Polis Kelantan mendapati pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan bermula semalam, masih ramai penduduk negeri ini mendakwa masih tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata keadaan itu mungkin disebabkan pengumuman PKPB dilakukan pada hari cuti umum di Kelantan.
Katanya, berikutan pelaksanaan perintah tersebut, rakyat negeri ini perlu mendapatkan surat kebenaran daripada majikan, surat rentas daerah daripada pihak polis dan lain-lain sebelum memulakan sebarang perjalanan merentas daerah atau negeri.
Beliau berkata, pihak polis juga menyarankan supaya mereka sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan bersabar ketika melalui sekatan jalan raya yang mungkin akan mengambil sedikit masa.
"Pihak polis terpaksa membuat pemeriksaan ke atas setiap kenderaan yang hendak rentas daerah bagi memutuskan rantaian COVID-19.
"PDRM juga menyediakan lorong khas kepada petugas hadapan dan kecemasan dalam setiap sekatan jalan raya yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
-- BERNAMA
#PKPB #Kelantan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #Polis Kelantan #COVID-19 #prosedur operasi standard #SOP
;