'Masih perlu patuh SOP, jaga diri melawat kubur' - Perdana Menteri
Hasimi Muhamad
April 27, 2022 21:31 MYT
April 27, 2022 21:31 MYT
PUTRAJAYA: Umat Islam yang bakal meraikan Aidilfitri dinasihatkan terus mengamalkan kawalan kendiri walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kawasan terbuka bermula 1 Mei ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan diri termasuk ketika menziarahi kubur.
“Jadi bermakna di hari raya nanti, untuk menziarahi kubur misalnya tak perlu memakai pelitup muka lagi... kecuali di tempat-tempat tertutup masih lagi wajib di bawah Akta 342.
“Walaupun tidak lagi menjadi kesalahan tidak memakai pelitup muka tetapi (perlu) untuk menjaga kepentingan diri dan keselamatan.
“Saya percaya kubur ini biasanya beratus-ratus orang datang... dan semua keluarga akan pergi.
“Jadi mungkin berhimpit-himpit dan ia sudah tidak salah dari segi SOP kerana kita tahu penjarakan fizikal tidak lagi menjadi seperti dulu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama petani, nelayan dan pekebun di Seri Perdana, di sini pada Rabu.
Jelas Perdana Menteri lagi, walaupun kerajaan telah memberikan banyak kelonggaran, tetapi rakyat tidak boleh menganggap keadaan sudah selamat daripada COVID-19.
Beliau menambah, sambutan Aidilfitri juga sudah seperti biasa tanpa sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan sebelum ini.
“COVID-19 masih lagi ada, cuma seperti yang kita umumkan dulu bahawa kita tiada pilihan selain hidup bersama COVID-19.
“Tetapi (rakyat) masih perlu lagi berhati-hati,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan, bermula Ahad ini.
Bagaimanapun, Khairy berkata pemakaian pelitup muka digalakkan di luar bangunan, terutama di kawasan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam serta stadium.
Selain itu, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan apabila berada di dalam bangunan, termasuk gedung beli belah dan pengangkutan awam, termasuk e-hailing.