Masih kurang wanita pegang jawatan kanan editorial di Malaysia
Bernama
April 27, 2023 07:45 MYT
April 27, 2023 07:45 MYT
Satu laporan baharu mendapati kaum wanita masih diketepikan daripada memegang kuasa dalam industri media berita global.
Berdasarkan laporan Institut Kajian Kewartawanan Reuters 2023, hanya 22 peratus daripada 180 editor kanan di 240 pertubuhan berita di seluruh dunia, terdiri daripada wanita di sebalik purata, 40 peratus wartawan dalam 12 pasaran yang dikaji adalah wanita.
Sementara itu, di Malaysia, kekurangan wanita dalam jawatan kanan editorial mencetuskan "kitaran toksik yang bagaikan tiada kesudahan dengan hanya beberapa mentor dalam bilik berita untuk pemimpin wanita masa depan". Ini bersandarkan laporan media 2020 oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) Rantau Asia-Pasifik.
Laporan berkenaan berdasarkan dapatan kajian ke atas 240 orang petugas media Malaysia mengenai keadaan tempat bekerja masing-masing, daripada soal gaji dan isu keselamatan sehingga kepada jaminan pekerjaan secara keseluruhan.
Antara hasil kajian, meskipun kaum wanita unggul dalam jawatan eksekutif serta pengurusan seperti ketua pegawai eksekutif, eksekutif dan pengurus besar, bagaimanapun, bilangan mereka dalam jawatan kanan editorial seperti pengarah, ketua biro dan pengarang tidak berapa memberangsangkan.
Menurut kajian yang sama, sebanyak 83.3 peratus responden berkata, organisasi mereka mempunyai wanita menyandang peranan berjawatan tinggi namun nisbah wanita untuk jawatan kanan editorial adalah rendah daripada lelaki.
Kurangnya wakil wanita dalam jawatan penting editorial dalam industri media juga menyebabkan isu berkait dengan hak wanita dan kesaksamaan jantina kurang diberi penekanan untuk dilaporkan.
Wartawan penyiaran bebas Tehmina Kaoosji, yang berpangkalan di Malaysia, menekankan bahawa kepelbagaian jantina dalam jawatan editorial meningkat "sedikit" dalam tempoh sedekad lepas.
"Meskipun terdapat wanita dalam jawatan berkenaan, lazimnya mereka sering terbawa-bawa pemikiran parokial/sempit. Sekiranya mereka berusia lebih muda, terdapat kesedaran dan komitmen yang lebih terhadap kesaksamaan jantina dalam liputan berita, " beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.
PERUBAHAN DI BILIK BERITA
Ketua Pengarang portal kesihatan Galen Centre, CodeBlue, Boo Su-Lyn berpandangan, profesional media wanita terpaksa melalui perjalanan yang panjang sebelum kesaksamaan jantina untuk jawatan kanan editorial dapat ditangani.
"Keadaan yang sama juga untuk bidang lain. Wanita sering dilihat mempunyai komitmen keluarga yang lebih berbanding lelaki. Mereka mungkin tidak bersedia untuk menghabiskan lebih masa bagi karier mereka yang menghalang mereka daripada mendapat peluang untuk kenaikan pangkat.
"Satu lagi cabaran ialah banyak bilik berita masih diketuai lelaki yang lebih berusia dan kekosongan hanya wujud selepas mereka bersara atau meletak jawatan. Ini membuatkan tidak banyak peluang untuk wartawan wanita yang lebih muda untuk menyerlah dan menyandang jawatan kepimpinan," kata Boo.
Mengenai program kepimpinan dan mentor untuk wanita di bilik berita, Tehmina berkata, ia adalah penting untuk memastikan wartawan wanita yang berkemampuan dan berbakat tidak dipinggirkan untuk kenaikan pangkat kerana sikap berat sebelah, secara sedar atau tidak.
"Dalam hal ini, antara yang perlu ditangani ialah memastikan wartawan wanita yang juga ibu mempunyai akses yang mencukupi kepada penjagaan kanak-kanak yang diberi subsidi dan mampu bayar. Wartawan wanita dan lelaki yang juga ibu bapa mesti dibenarkan masa bekerja yang fleksibel supaya mereka sama-sama boleh menyumbang untuk menjaga anak masing-masing," katanya.
Menurut Tehmina, bilik berita Malaysia juga perlu mempunyai lebih ramai copy editor yang sensitif kepada kesaksamaan jantina bagi memastikan kitaran berita harian "tidak ada unsur stereotaip seksis, menggunakan bahasa yang berkecuali jantina dan membuat liputan berita am dengan berpandukan prinsip kesaksamaan jantina.
"Mereka juga perlu menyediakan latihan serta bengkel kesedaran yang kerap untuk semua peringkat kakitangan, termasuk C-suite (pengurus peringkat eksekutif), dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) organisasi dan pengurusan untuk mengesan kemajuan di tempat kerja tanpa sebarang isu diskriminasi di bilik berita dan juga berita yang adil, beretika serta sensitif kepada jantina," tambahnya.
SUARA WANITA KURANG DIWAKILI
Menurut laporan berkenaan, lebih daripada 70 peratus orang yang dipetik sebagai sumber dan mendapat tempat dalam laporan berita adalah lelaki sementara wanita, kurang daripada 30 peratus.
Boo berkata, salah satu sebab mengapa wanita kurang diwakili dalam jawatan kanan editorial kerana kaum lelaki masih majoriti pakar serta sumber yang dipetik oleh media.
"Pembuat berita (sumber) kebanyakannya lelaki seperti ahli politik dan penggubal undang-undang dan mereka ini dipetik dalam laporan politik. Ini bermakna laporan berita cenderung memfokus kepada lelaki, yang mengakibatkan kaum lelaki terlalu banyak dipampangkan dalam media," katanya.
Boo menambah, sebagai ketua pengarang portal penjagaan kesihatan, beliau selalu memastikan wanita atau pakar wanita serta sumber dimasukkan dalam setiap laporan berita.
"Wanita lebih mementingkan kesihatan dan kebimbangan mereka perlu diketengahkan untuk menarik lebih ramai pembaca wanita," katanya.
Beliau berkata, sekiranya wanita diberi peluang untuk mengetuai jawatan editorial, isu tertentu berkait dengan kesaksamaan jantina, kanak-kanak serta komuniti rentan mudah diketengahkan.
"Ini kerana wanita dianggap sebagai kumpulan yang memahami serta mempunyai lebih empati, justeru hanya mereka boleh menonjolkan isu berkenaan dalam media," tambahnya.
KESELAMATAN WARTAWAN WANITA
Di sebalik cabaran dalam bidang kewartawanan, terdapat beberapa orang wartawan wanita Malaysia yang berjaya meningkat dan seorang daripadanya, Salbiah Said, 70, bekas timbalan ketua pengarang Perkhidmatan Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Beliau berkhidmat selama 32 tahun dengan Bernama sebelum bersara wajib pada 1 Mac, 2011.
Menurut wartawan veteran ini, angkatan wartawan wanita yang mula-mula menceburi bidang ini menunjukkan kemampuan yang mantap, setanding dengan wartawan lelaki dalam bidang kewartawanan.
"Sewaktu zaman saya, sekitar tahun 1980an, memang terdapat ramai pemberita wanita dan kalau diikutkan bilangan wanita bekerja sebagai pemberita adalah lebih ramai daripada editor kanan.
"Bagaimanapun, keadaan pada hari ini menunjukkan perubahan positif dengan ramai juga wanita memegang jawatan kanan editor. Pada masa ini, kita boleh lihat wartawan wanita pantas meningkat dalam menyandang jawatan kanan editorial," katanya.
Salbiah berkata, di Bernama, atas sikap pengurusan atasan yang memandang ke depan, ramai wartawan wanita meningkat dalam karier mereka dengan memegang jawatan kanan di Jabatan Pengarang Bernama.
Beliau turut menyatakan bahawa sewaktu baru-baru menceburi bidang kewartawanan, sebagai pemberita muda, beliau sering diberi tugasan yang sebelum itu didominasi pemberita lelaki.
"Sewaktu saya bertugas di Biro Pulau Pinang, antara tugasan yang paling saya seronok ialah membuat liputan penglibatan tentera Malaysia di sempadan Malaysia -Thai. Terdapat ketika saya secara peribadi diundang oleh pegawai atasan tentera yang berpangkalan di Pulau Pinang untuk pergi membuat liputan ke beberapa zon bahaya.
"Saya juga ditugaskan ke Aceh, Indonesia, pada Disember 2004 untuk membuat liputan berlakunya bencana tsunami," kata Salbiah, yang menambah, dari segi keselamatan, wartawan wanita global menghadapi serangan semasa dalam talian atau di luar talian. Ini berdasarkan laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)
Beliau berkata, keganasan berasaskan jantina yang mengancam wartawan wanita menandakan ada stigmatisasi, ucapan berbaur kebencian dan seksis, trolling, serangan fizikal, rogol dan juga malahan pembunuhan.
"Gangguan seksual, bagaimanapun, secara tradisinya tidak dilihat sebagai keganasan berdasarkan jantina, tetapi masih wujud dalam industri. Malangnya, kebanyakan insiden ini tidak dilaporkan.
"Sebagai wartawan, seseorang itu perlu berani, tabah dan bangga dengan bidang yang diseburinya. Sepanjang karier saya, banyak pahit maung yang saya lalui, tetapi alhamdulillah, saya berjaya melaluinya dan menjadikan saya lebih kuat untuk melaksanakan tugas saya, " katanya.
Pengarah eksekutif Pusat untuk Wartawan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu berkata, pihaknya menyediakan garis panduan untuk menangani isu kesaksamaan jantina daam organisasi media di samping untuk keselamatan wartawan wanita di tempat kerja pada setiap masa.
"Memandangkan kerja wartawan pada kebanyakan masa adalah di lapangan, amalan kesihatan dan keselamatan pekerjaan mungkin sering terjejas.
"Wartawan wanita perlu mengharungi pelbagai kebimbangan fizikal, mental serta digital seperti menangani gangguan, cubaan seksual serta keganasan berdasarkan jantina dalam talian ketika bekerja, " beliau memberitahu Bernama dan wawanca menerusi emel.
Menurut beliau, CIJ menggesa semua organisasi media di Malaysia untuk memberi perhatian kepada kebimbangan yang menghantui pekerja wanita mereka dan memastikan perlindungan yang mencukupi serta seragam disediakan untuk mereka.
HAWANA 2023
Sementara itu, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) untuk tahun 2023 akan berlangsung dari 27 Mei hingga 29 Mei di Ipoh, Perak. Ia disambut setiap tahun bagi menghargai sumbangan para wartawan d negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan HAWANA 2023 pada hari terakhir sambutan.
Menurut Dekan Eksekutif, Fakulti Sastera, Komunikasi dan Pendidikan, Infrastructure University Kuala Lumpur, Prof Dr Faridah Ibrahim, HAWANA 2023 adalah pangkalan terbaik untuk menyerlahkan pencapaian wartawan wanita serta mendidik yang lain tentang "bahagian sejarah kewarwanan kebangsaan yang tidak didendang".
"Sudah sampai masanya untuk seseorang, mungkin dari kalangan cendekiawan, penyelidik universiti atau pengamal media, untuk menghasilkan buku mengenai wartawan wanita yang unggul," katanya.
-- BERNAMA