Masih kurang tenaga pengajar al-Quran Braille di Pahang

Bernama
Mac 18, 2025 23:30 MYT
Mohammad Haafiz Aminuddin berkata bengkel pembangunan itu memberi fokus kepada pendedahan yang tidak sekadar merangkumi aspek teori semata-mata, tetapi praktikal juga turut menjadi keutamaan. - Gambar Bernama/Anis Nabilla Md Wazilah
KUANTAN: Pahang merekodkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan mencecah hampir 3,000 orang, namun tenaga pengajar al-Quran Braille di negeri ini masih belum mencukupi dan usaha mengatasi isu berkenaan wajar dilaksanakan dengan kadar segera.
Bertitik tolak daripada itu, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) kini sedang giat menganjurkan bengkel bagi melatih mereka yang berminat untuk menjadi guru al-Quran Braille sebagai usaha menambahkan lagi tenaga pengajar golongan berkenaan.
Pensyarah di Jabatan Quran Sunnah UnIPSAS Mohammad Haafiz Aminuddin Mohd Azmi berkata bengkel pembangunan itu memberi fokus kepada pendedahan yang tidak sekadar merangkumi aspek teori semata-mata, tetapi praktikal juga turut menjadi keutamaan.
"Jadi, selepas mahir mereka boleh keluar dan mengajar golongan cacat penglihatan atau individu normal dengan al-Quran Braille," kata Mohammad Haafiz Aminuddin yang juga Ahli Lajnah Tashih al-Quran Braille (LTQB) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memainkan peranan menyemak al-Quran Braille sebelum dicetak.
Ditemui Bernama di UnIPSAS di sini baru-baru ini, beliau berkata untuk mengajar kod Braille kepada mereka yang berminat, perkara paling asas yang perlu dikuasai ialah tulisan Braille serta tanda baca, nombor atau dalam istilah kata lain, kod rumi terlebih dahulu.
"Sebelum mempelajari alif ba ta dan huruf tambahan lain, mereka perlu tahu asas tulisan Braille, iaitu abjad A sampai Z. Apabila mempelajari al-Quran Braille, kena tahu kod nombor juga supaya dapat menguasai muka surat dalam al-Quran.
" ... biasanya, untuk tahu kod ambil masa singkat, tetapi untuk menguasai keseluruhannya, lebih banyak masa diperlukan selain kena kerap praktikkan," katanya.
Setakat ini, 29 individu telah menerima latihan itu terdiri daripada pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).
Tidak mahu ada yang terpinggir dengan kekurangan dihadapi, Naib Canselor UnIPSAS Prof Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata pihaknya komited menyediakan platform bagi golongan OKU mendalami al-Quran dengan bantuan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.
Baginya, mempelajari kalam Allah SWT ialah hak semua umat Islam dan kerana itu, pihaknya tidak akan pernah melupakan insan istimewa berkenaan tidak kiralah sama ada yang mengalami OKU penglihatan, pendengaran, fizikal mahupun pesakit autisme.
Justeru, golongan berkenaan menjadi antara tumpuan universiti untuk menguasai kitab suci itu menerusi penyediaan keperluan pendidikan buat mereka yang pastinya akan membantu dan memberi peluang kepada komuniti OKU ini mempelajari al-Quran.
"Kami juga dalam perancangan membina Pusat Pengajian al-Quran, apabila pusat ini siap kelak mereka boleh menetap di sini dan pelajari al-Quran," katanya.
-- BERNAMA
#KDN #OKU #al-Quran Braille #pesakit autisme
;