Masih enggan terima vaksin? Tunggulah, sampai anda terkena jangkitan - Abdul Latiff
Hasimi Muhamad
Oktober 12, 2021 11:38 MYT
Oktober 12, 2021 11:38 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan antivaksin mungkin akan sedar kepentingan vaksin COVID-19 sekiranya mereka dijangkiti dan dikategorikan kritikal, atau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu berkata, kerajaan sedar kewujudan golongan berkenaan, tetapi buat masa ini masih belum berhasrat mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19.
"Jika mereka tidak percaya kepada vaksin, cubalah mendapat jangkitan.
"Hanya dengan mendapat jangkitan, baru mereka tahu betapa peritnya berhadapan dengan nyawa (yang terancam), apabila kita berada pada Tahap 4 dan 5, atau berada di ICU.
"Sebab itu kerajaan akan terus melakukan dakwah dan membuat penglibatan, (supaya) akhirnya mereka kena buat keputusan," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mengenai usaha kerajaan menarik golongan bijak pandai dan agamawan yang berpengaruh, namun didakwa masih enggan menerima vaksin.
Berbeza dengan Kanada yang mewajbkan pengambilan vaksin, Abdul Latiff berkata, di Malaysia, kerajaan masih yakin pendekatan sukarela boleh 'melembutkan hati' mereka yang enggan divaksin, untuk berbuat sebaliknya.
"Di Malaysia sebenarnya masih ada ruang untuk kita berbincang dengan mereka.
"Umpamanya Orang Asli, kita bincang dengan Tok Batin atau ketua masyarakat, akhirnya mereka menerima (vaksin).
"Ia boleh dicapai di Malaysia tanpa paksaan," ujarnya.