Masih berbaki 26 guru di Perlis yang enggan divaksin - Exco

Salim Aziz
Ogos 25, 2021 17:11 MYT
Seramai 26 guru sekolah di Perlis masih ragu-ragu serta menolak untuk menerima vaksin COVID-19, kata Exco Pendidikan Negeri, Rozieana Ahmad. - Gambar fail/BERNAMA
KANGAR: Seramai 26 guru sekolah di Perlis masih ragu-ragu serta menolak untuk menerima vaksin COVID-19, Exco Pendidikan Negeri, Rozieana Ahmad.
Menurutnya, jumlah yang dipercayai turut melibatkan seorang pengetua itu merupakan baki daripada keseluruhan 91 orang guru yang sebelum ini turut bertindak sedemikian.
Bagaimanapun, kata Rozieana, usaha ‘memujuk’ yang berterusan membuahkan hasil apabila 65 guru dari kumpulan itu berubah fikiran untuk divaksin.
Berikutan itu, katanya pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, akan meneruskan usaha memujuk kumpulan guru terlibat dan membantu memberikan penerangan serta kaunseling supaya mereka sedia menerima suntikan.
“Daripada perbincangan dengan Pengarah Pendidikan, masih ada 26 guru yang dalam kategori belum bersedia mendapat vaksin.
"Jadi, saya merayu kepada golongan guru ini supaya melihat kepentingan pelajar. Kalau boleh kita nak elakkan anak-anak ni (daripada) terus ketinggalan dalam pendidikan.
"Bila semua ada vaksin maknanya kita boleh buka sekolah dan itulah cara paling mudah untuk anak-anak ni catch up dalam pelajaran sebab ramai yang ketinggalan, kesian pada mereka," ujarnya.
Rozieana ditemui media selepas tamat hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN Kangar.
Menurut beliau, pihaknya mahu kesemua golongan pendidik termasuk kakitangan sekolah di negeri itu lengkap menerima dua dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka nanti.
Untuk rekod setakat ini, kira-kira 200 guru masih dalam proses melengkapkan dua dos vaksinasi.
#guru #vaksin #Perlis #vaksinasi lengkap #Rozieana Ahmad #dua dos #sesi persekolahan
;