Masih banyak yang belum diselesaikan antara UMNO dan PAS - ISMA
Irwan Muhammad Zain
Januari 17, 2015 08:35 MYT
Januari 17, 2015 08:35 MYT
Masih banyak tanggungjawab kerajaan pusat yang masih belum dilaksanakan seperti dalam isu royalti dan pembinaan lebuhraya di Kelantan menyebabkan kerjasama antara PAS dan UMNO sukar dilaksanakan kata Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya berkata, sikap kerajaan pusat terhadap kerajaan Kelantan amat jelas menyebabkan pemimpin PAS sangsi adakah benar-benar UMNO serius mahu bersatu atau hanya mainan politik.
"Orang yang serius mesti menunjukkan keseriusan dan keikhlasannya. Bukan berkata mahu bersatu tetapi pada masa sama menikam dari belakang.
"PAS dengan pengalaman yang begitu lama dalam bidang politik, mereka tahu mainan ini.
"Bagi saya kena ada give and take. UMNO perlu lebih rasional dalam konteks Islam dan Melayu, kerana yang merana pun orang Melayu di Kelantan," katanya dalam satu temubual yang disiarkan di portal rasmi ISMA.
Mengulas cadangan agar PAS dan UMNO mewujudkan kerajaan perpaduan bagi memulihkan keadaan di Kelantan yang teruk dilanda banjir, Aminuddin berpendapat ia sesuatu yang bagus sebagai permulaan kepada kesatuan yang lebih baik lagi di masa-masa hadapan.
Katanya, cadangan kerjasama dua parti yang mewakili orang Melayu itu bukan perkara yang baru dan mudah untuk dilaksanakan.
"Sudah tentu kena ada mukaddimah-mukaddimah yang kita rasakan perlu sebelum mencapai perpaduan yang sebenarnya yang mungkin diingini oleh semua rakyat di negara ini.
"Kita tahu, untuk mempertemukan UMNO dengan PAS bukan satu perkara yang mudah dan sesimple yang sesetengah orang mungkin jangkakan. Sudah banyak peristiwa yang menyebabkan berlaku ketidakselarian antara UMNO dan PAS," katanya lagi.
Beliau berpendapat untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dan PAS memerlukan elemen tolak ansur antara kedua-dua pihak, tidak boleh mana-mana pihak meminta perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pihak satu lagi.
Ketika Kelantan dilanda banjir besar baru-baru ini, pemilik akhbar Sinar Harian, Datuk Husamuddin Yaacub melontarkan cadangan supaya PAS dan UMNO membentuk sebuah kerajaan campuran di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.