Masih banyak agenda: Rina akan pertahan jawatan Ketua Srikandi Bersatu

Afiezy Azaman
Julai 9, 2019 12:55 MYT
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun mengesahkan akan bertanding untuk mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti akan datang. - Gambar fail/Astro AWANI
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun hari ini mengesahkan akan bertanding untuk mengekalkan jawatan yang disandang pada pemilihan parti itu akan datang.
Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata keputusan itu dibuat kerana beliau mempunyai banyak lagi agenda pembangunan wanita yang mahu dilaksanakan.
“Itulah ramai orang tanya, dalam tempoh awal srikandi ini baru sahaja ditubuhkan sebenarnya dan banyak lagi agenda wanita yang saya nak laksanakan.
“Saya rasa saya perlu nak kekalkan sebagai Ketua Srikandi Bersatu namun walau apa pun ia terpulang kepada ahli,” katanya selepas menjadi tetamu kepada program Agenda AWANI terbitan Astro AWANI, di Bukit Kewangan, ibu negara, pada Selasa.
Pada 28 Jun lalu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya berkata parti itu akan memperkukuhkan perlembagaan sedia ada menerusi proses pindaan yang dijangka dilakukan pada bulan hadapan sebelum melaksanakan pemilihan parti itu.
Pindaan perlembagaan yang akan dilakukan menerusi mesyuarat agung itu akan melibatkan perubahan besar beberapa klausa dalam perlembagaan sedia ada.
#Agenda Awani #Bersatu #Datuk Marzuki Yahya #Ketua Srikandi #Menteri Pembangunan Luar Bandar #pemilihan parti #Rina Harun #Setiausaha Agung Bersatu #wanita
;