Masih ada sifat tidak percaya sesama sendiri dalam Pakatan - Penganalisis politik
Astro Awani
Ogos 19, 2014 07:39 MYT
Ogos 19, 2014 07:39 MYT
Ramai yang melihat krisis politik yang melanda Selangor sebagai salah satu kelemahan dan hari yang mendukacitakan bagi penyokong Pakatan Rakyat.
Kemelut politik ini belum nampak ada penghujungnya biarpun tiga komponen utama kerjasama itu iaitu PAS, DAP dan PKR telah akhirnya bersetuju mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru bagi menggantikan penyandang jawatan itu Tan Sri Abdul Khalid.
Kemelut ini walau bagaimanapun kata Pakatan merupakan satu proses kematangan parti.
Menurut Penganalisis Gerakan Islam UIAM, Dr Maszlee Malik, masih ada lagi sifat tidak percaya sesama sendiri antara ketiga-tiga parti itu yang perlu diubah.
“Masih ada sifat tidak percaya ‘kawan sendiri’ di dalam Pakatan yang perlu diperbaiki.
“Sejauh mana sikap kematangan mendahului di dalam parti itu jika perkara asasi seperti saling menghormati dan setia sekata masih lagi lemah?” tanya Dr Maszlee.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan berkata dalam menjalani proses kematangan, masih lagi banyak masalah dalaman yang belum diselesaikan.
“Kemahiran koalisi atau bekerjasama itu perlu dikuasai parti jika mahu mara ke hadapan” kata Wan Saiful kepada Astro AWANI.
Kata Wan Saiful lagi, tiada undang-undang jelas di dalam parti ini dalam cara memilih Menteri Besar dan EXCO.
“Perkara itu yang perlu diselesaikan dan diperjelaskan dengan lebih awal” kata Wan Saiful lagi.
Dua tokoh muda ini berkata demikian ketika menjadi panel jemputan di rancangan Analisis AWANI pada Selasa yang membincangkan topik ‘Krisis MB Selangor : Halatuju PAS dan kecelaruan dinamisme Pakatan’.
#analisis awani
#Dr Maszlee Malik
#Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS
#Pakatan Rakyat
#Penganalisis Gerakan Islam UIAM
#Selangor
#Wan Saiful Wan Jan