Masih ada produk kosmetik yang diharamkan di pasaran
Azyyati Ahmad
Mei 17, 2013 15:11 MYT
Mei 17, 2013 15:11 MYT
Walaupun kenyataan akhbar mengenai lima produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual betamethasone dan merkuri, namun masih ada lagi di antara produk ini meneruskan penjualannya.
Tinjauan Astro Awani mendapati beberapa produk terlibat masih dijual kepada orang ramai.
Apabila dihubungi, salah satu pengedar produk tersebut menafikan produk mereka mengandungi racun berjadual sebagaimana dilaporkan oleh media-media tempatan. Malah, seorang pengedar apabila ditemui menegaskan hal ini tidak benar dan berlaku disebabkan sabotaj.
Untuk mengesahkan perkara ini, Astro Awani telah menghubungi Pegawai Farmasi di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Nik Shamsiah Nik Salleh.
Menurut Shamsiah laporan berita yang dikeluarkan semalam mengenai pengharaman jualan produk-produk ini adalah sahih.
“Kesemua sampel produk yang kita rujuk adalah dari pemilik produk berkenaan dan bukannya diambil dari pasaran jadi tidak timbul soal sabotaj.
“Pembatalan status produk-produk ini di dalam laman web BPFK masih belum dikemaskini, dan orang ramai dinasihatkan untuk mengikut laporan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan,” kata Shamsiah.
Shamsiah turut berkata pihaknya telah cuba menghubungi pemilik berkenaan berhubung perkara ini, namun gagal.
Astro Awani turut menghubungi satu lagi syarikat dimana produknya pun disenaraikan oleh kementerian, namun tidak dapat bercakap dengan pengurus yang bertanggungjawab.
Walaubagaimanapun, menurut salah seorang pekerja di situ, penjualan produk yang disenaraikan telah dihentikan sejak setahun yang lalu. Pekerja itu menegaskan bahawa produk yang lain adalah selamat untuk digunakan.
Namun begitu gambar dan maklumat mengenai produk (disenarai) tersebut masih di dalam senarai produk di dalam laman web rasmi mereka.
Semalam pagi, media tempatan melaporkan bahawa terdapat lima produk yang telah dikesan mengandungi racun berjadual betamethasine dan merkuri.
Produk-produk itu adalah berikut: Cellnex Anti-Sensitive Essence Treatment (betamethasone), Natural 99 Night Cream, Natural 99 Day Cream, SF Beauty Night Cream (Facial) dan SF Beauty Day Cream (Facial).
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian berkenaan, Datuk Eisah A.Rahman berkata syarikat yang bertanggungjawab menjual dan mengedarkan produk tersebut telah diarahkan menarik balik serta merta kesemua produk berkenaan daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.
"Penggunaan betamethasone tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, kesan rekahan, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
"Merkuri pula tidak boleh digunakan dalam produk kosmetik kerana berisiko memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf," katanya dalam kenyataan kepada pemberita semalam.
Pengguna dinasihatkan menghubungi BPFK di talian 03-78835532 atau 03-78835534 jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik.