Masih ada penjawat awam ragu-ragu tandatangan SSPA - CUEPACS

Bernama
September 29, 2024 22:01 MYT
Adnan berkata kelompok berkenaan diharapkan segera menandatangani skim tersebut memandangkan ia tidak merugikan. - Gambar fail/Bernama
PORT DICKSON: Terdapat sekelompok kecil penjawat awam yang masih ragu-ragu untuk menandatangani Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa 1 Dis ini.
Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr. Adnan Mat, berkata kelompok berkenaan diharapkan segera menandatangani skim tersebut memandangkan ia tidak merugikan.
Selain itu, katanya, CUEPACS akan terus memantau bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.
Penjawat awam mempunyai opsyen selama 40 hari bermula 21 Okt hingga 30 Nov ini untuk memilih sama ingin beralih ke SSPA atau kekal dengan SSM.
"Masih ada yang ragu-ragu tetapi prinsipnya adalah mudah iaitu naik gaji....tidak ada apa-apa pengurangan yang berlaku cuma mungkin sebahagian kumpulan dapat lebih, sebahagian dapat setara dan sebahagiannya masih dalam keadaan biasa.
"Apa yang penting pelaksanaan skim baharu ini tidak ada yang kurang, maka dengan itu tidak ada keperluan untuk kita ragu-ragu untuk terus saja tandatangan supaya kita dapat gaji yang lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia di sini hari ini.
Adnan berkata SSPA juga dilihat lebih baik daripada SSM yang diguna pakai sejak 2002 dan sekiranya ada sebarang kekurangan dalam bentuk skim perkhidmatan tersebut, pihaknya akan terus berunding dengan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Sementara itu, katanya pihaknya memohon supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menambah sekurang-kurangnya 1,000 jawatan bagi Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).
Beliau berkata keperluan itu penting bagi memastikan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang telah diwartakan dan dikuatkuasakan pada 1 Okt ini dapat dilakukan secara komprehensif.
"Setakat ini, kita hanya mempunyai 5,000 penguat kuasa PKP dan PPKP di seluruh negara dan jumlah itu tidak mencukupi. Hal ini menyebabkan mereka terbeban dengan tugasan sedia ada," katanya.
-- BERNAMA
#cuepacs #penjawat awam #SSPA #SSM
;