Masih ada lagi yang tinggal bergelap tanpa elektrik
Nur Fazlizai Ali
Januari 31, 2018 07:36 MYT
Januari 31, 2018 07:36 MYT
Hidup dalam kegelapan dalam arus kemodenan.
Itu yang boleh digambarkan dalam kehidupan pasangan suami isteri yang tinggal di Dungun, Terengganu apabila tidak mampu untuk membayar bil bulanan elektrik rumahnya menyebabkan mereka memutuskan untuk tidak lagi menggunakan elektrik.
Mohammad Amiruddin Ali@Md Amin , 38 tahun dan pasangannya Rohaya Husain, 35 tahun tidak mampu menikmati kemudahan itu seperti orang lain disebabkan kemampuan yang terbatas.
Lebih malang Amiruddin yang penghidap penyakit Eczema membataskan lagi keupayaannya untuk mencari rezeki.
Beliau yang melakukan kerja-kerja membaik pulih kenderaan tidak lagi mampu aktif seperti dahulu.
“Kehidupan saya sekarang ini memanglah agak susah. Walaupun ada banyak permintaan untuk memperbaiki kenderaan tetapi saya terpaksa menolaknya berikutan tahap kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
"Malah sekali sekala saya terpaksa juga membuat mana yang mampu atas dasar mencari rezeki. Tapi bila datang sakit dan gatal saya terpaksa berhenti seketika sebelum menyambungnya semula," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Isterinya yang hanya mengambil upah sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah hanya mempunyai pendapatan sekitar RM30 sehari.
Malah wang itu jugalah yang digunakan untuk membeli keperluan rumah dan menanggung dua anak mereka yang bersekolah.
Bagaimanapun kegelapan rumah pusaka arwah nenek Amiruddin itu mungkin akan bercahaya semula apabila Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam datang menjenguk keluarga itu sambil memberi jaminan untuk menghulurkan bantuan.
Menurut beliau, pihaknya akan membaik pulih semula rumah usang itu dan melakukan pendawaian elektrik bagi memastikan kehidupan yang lebih selesa buat keluarga itu.
“Insya-Allah saya akan buat pendawaian elektrik rumah ini termasuk kerja-kerja perpaipan air dalam rumah dan memperbetulkan keadaan rumah yang usang ini," katanya.