Masih ada gagal kuasai Bahasa Kebangsaan, fahami budaya hidup kaum lain - Agong

Afiezy Azaman
Februari 26, 2024 12:20 MYT
Seri Paduka Baginda turut bertitah, Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara dan akan terus kekal dipelihara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, ini dapat dilihat kerana generasi hari ini masih gagal menguasai Bahasa Kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.
"Oleh itu saya menyeru kepada kerajaan untuk rangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
"Pepatah Melayu ada menyebut, meluntur buluh biarlah dari rebungnya, yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil.
"Saya juga menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang tidak libatkan Raja, kaum dan agama," Titah Baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara dan akan terus kekal dipelihara dengan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman namun tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.
"Oleh itu, jangan ada mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan ini," Titah Baginda.
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #bahasa kebangsaan #perpaduan rakyat
;