Mashitah Ibrahim dilantik Ahli Lembaga Pengarah baharu USIM
Bernama
September 28, 2020 06:30 MYT
September 28, 2020 06:30 MYT
SEREMBAN: Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia Datuk Dr Mashitah Ibrahim dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu berkuat kuasa pada Isnin.
Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Strategik USIM, pelantikan selama dua tahun bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu adalah bagi menggantikan Ir Dr Muhamad Fuad Abdullah yang tamat tempoh lantikannya pada 22 Sept lepas.
Pelantikan dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Swasta), kata kenyataan itu.
"Pengurusan universiti berbesar hati dan menyambut baik pelantikan itu kerana percaya atas pengalaman yang dimilikinya mampu memberi sumbangan yang signifikan membawa USIM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang," menurut kenyataan itu.
Mashitah merupakan lulusan Sarjana Muda Tafsir dan Hadis daripada Universiti Al-Azhar, Mesir serta memiliki Ijazah Sarjana Shariah Islamiyyah dan Doktor Falsafah (PhD) Shariah Islamiyyah daripada Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir.
Selain itu, beliau juga memiliki ijazah sarjana dalam bidang 'Revealed Knowledge and Heritage' daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah UIAM selama 16 tahun bermula 1988 hingga 2004.
-- BERNAMA
#Datuk Dr Mashitah Ibrahim
#ahli lembaga pengarah
#Universiti Sains Islam Malaysia
#USIM
#Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia
#Pusat Komunikasi Strategik USIM
#Muhamad Fuad Abdullah