"Masanya sudah hampir tiba"
Wan Syamsul Amly
Mac 21, 2013 07:40 MYT
Mac 21, 2013 07:40 MYT
Meninggalkan Lahad Datu atau maksudnya dalam bahasa suku Bajau-Sinama, negeri keturunan bangsawan ke Felda Sahabat, lokasi krisis pencerobohan kedaulatan negara maksudnya misi saya baru bermula.
Walaupun dikatakan hadir pada 'waktu kecederaan' iaitu pada pengakhir krisis, namun siapa tahu, saat ini merupakan masa klimaks sekaligus memungkinkan pelbagai perkara penting boleh berlaku pada saat-saat sebegini.
Perjalanan sejauh 130 kilometer terasa sebentar sahaja. Melihat bandar-bandar kecil dan aktiviti seharian penduduk yang seolah-olah tiada apapun berlaku semasa sepanjang perjalanan, menguatkan firasat saya bahawa trauma pencerobohan yang mereka alami sudah berakhir.
Saya juga melihat beberapa trak askar dan kenderaan pacuan empat roda berlabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas jalan raya dan ini menyimpulkan keyakinan kepada kekuatan pasukan keselamatan negara.
Sepanjang perjalanan yang mengambil masa 90 minit, ada juga saya lihat penduduk setempat duduk di pondok menjual ubi kayu hancur yang dijadikan santapan 'putu' atau 'sianglang' iaitu hidangan ringan seperti bertih jagung.
Sampai di lokasi — selepas melalui beberapa sekatan jalan raya, saya disambut biru laut pantai Felda Sahabat, melihat persekitaran dan membandingkannya dengan situasi Felda di Semenanjung.
Tidak banyak beza sebenarnya, tanaman kelapa sawit di sini dan susunan rumah peneroka. Mungkin kelainannya ada pada tutur kata dan gaya hidup penduduknya sehari-hari.
Satu perkara menarik saya peroleh dari seorang sahabat baru yang menjadi penduduk sini — golongan muda di Felda Sahabat yang mempunyai akaun laman sosial Facebook akan menukar gambar profil mereka berlatarbelakangkan kereta kebal!
Bagaimana tidak, sejak kehadiran APC Adnan beberapa hari lalu, penduduk di sini tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan kenderaan tempur kebanggaan negara yang bersedia pada bila-bila masa untuk menggempur musuh.
"Biasalah abang, semua mahu ambil kesempatan bergambar. Kereta kebal ini seperti sudah parking di halaman rumah kami sahaja," kata sabahat itu dalam pelat bahasa Sabahnya.
Duduk di pusat media, berkenalan dengan beberapa anggota keselamatan dan bertanya pengalaman mereka di dalam kawasan larangan, memang mengujakan.
Mendengar kisah pengganas menggunakan pelias — sejenis ilmu kebal tidak lut senjata untuk mempertahankan diri dan usaha pasukan keselamatan menjejak saki baki penceroboh negara harus dijadikan teladan kepada mana-mana pihak yang masih mempertikaikan perjuangan mereka.
"Tembak banyak kali tapi sebab pelias, peluru itu menyimpang bila seinci lagi hendak kena tubuh. Tapi mereka semua sudah kebulur. Sedikit masa lagi selesailah," kata anggota keselamatan itu.
Keadaan penceroboh itu diakui sumber yang memberitahu saki baki pengganas kini sudah terlalu lemah, terperangkap di kawasan sama dan tidak lagi mampu untuk bergerak jauh.
Seharusnya kesabaran saya menanti saat 'lampu hijau' untuk memasuki 'zon merah' — Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Kampung Tanduo yang dikatakan hampir bersih seperti sudah tidak boleh ditangguh lagi.
Bagaimana tidak, membuat catatan dari penempatan seolah dilanggar garuda yang ditinggal dengan pintu terbuka, tingkap pecah akibat kesan tembakan dan peluru bertaburan di halaman rumah pasti menjadi salah satu cerita yang mahu ditatap masyarakat.
Senyuman terukir di akhir perbualan apabila mengetahui jumlah mereka yang tinggal adalah terlalu sedikit. Walaupun didesak berkali-kali untuk berkongsi jumlah sebenar pengganas yang tinggal serta anggaran tempoh operasi berakhir, jawapan yang diberikan pendek saja: "Masanya hampir tiba."
Membaca gerak bibir dan sinar mata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas sidang media pada Khamis dan berbual dengan beberapa wartawan di sini, saya yakin masa itu memang betul-betul hampir tiba.