Masalah utiliti antara faktor projek perumahan swasta gagal disiapkan

Bernama
Mei 9, 2023 17:27 MYT
Kata Akmal, permasalahan utiliti itu dikenal pasti melalui kaedah pengesanan terperinci terhadap data keseluruhan projek perumahan berlesen pada suku pertama tahun ini. -Gambar fail/Bernama
PETALING JAYA: Masalah utiliti dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan 95 projek perumahan swasta di negara ini gagal disiapkan mengikut tempoh masa dirancang.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata masalah tersebut antaranya melibatkan sambungan bekalan elektrik, sistem pembentungan, bekalan air, kemudahan jalan dan perparitan, selain daripada isu kewangan syarikat yang menjadi faktor utama projek gagal disiapkan.
Katanya, permasalahan utiliti itu dikenal pasti melalui kaedah pengesanan terperinci terhadap data keseluruhan projek perumahan berlesen pada suku pertama tahun ini.
"Jadi untuk memastikan ada tindakan proaktif di peringkat KPKT, kita akan mengadakan perbincangan dua hala bersama agensi ulititi berkaitan pada bulan ini untuk memudahcara dan mencari penyelesaian terbaik.
"Sebagai permulaan, ketika Parlimen bersidang nanti kami akan menghantar surat jemputan untuk bertemu dengan syarikat Tenaga Nasional Berhad," katanya dalam sidang media mengenai status terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di ibu pejabat Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata dari 31 Dis hingga 31 Mac lepas, sebanyak 80 projek perumahan swasta yang dikategorikan sakit telah berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), manakala 12 projek lagi telah dipantau sehingga kembali mengikut jadual pembinaan.
"Ini menjadikan jumlah keseluruhan projek perumahan yang berjaya dikeluarkan daripada senarai projek sakit bagi suku pertama tahun ini adalah 92 dengan nilai kira-kira RM5 bilion," katanya.
Bagi projek kendalian PR1MA pula, Akmal Nasrullah berkata lapan projek telah berjaya disiapkan dan menerima CCC sehingga 30 April lepas, menghampiri sasaran 10 daripada 20 projek sakit yang ditetapkan kementerian untuk disiapkan tahun ini.
Mengenai suntikan dana RM29 juta yang diperuntukkan melalui Belanjawan 2023 bagi memulihkan projek perumahan sakit dan terbengkalai, beliau berkata Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta dan Terbelangkai KPKT sedang menilai beberapa perkara.
Ia termasuk kemungkinan untuk menumpukan dana itu bagi memulihkan projek perumahan di bawah RM300,000 dan sudah hampir siap.
"Menyiapkan projek adalah tanggungjawab pemaju walaupun agensi atau syarikat itu adalah berkaitan dengan kerajaan.
"Contoh, kalau PR1MA jalankan projek, PR1MAlah yang perlu siapkan, bukan boleh main serahkan projek kepada pihak lain.
"Tetapi jika ada masalah untuk projek disiapkan, kerajaan juga hendak tidak hendak terpaksa bantu (suntik dana) kerana ini melibatkan para pembeli rakyat biasa dan bukan lagi isu untuk menyalahkan sesiapa," katanya.
-- BERNAMA
#bekalan air #TNB #Masalah utiliti #projek perumahan swasta