Masalah sosial di sekolah bandar lagi teruk - Bukit Aman

Sharom Abu Bakar
Februari 11, 2018 07:26 MYT
Mohmad berkata faktor persekitaran serta tekanan yang dihadapi juga dipercayai menjadi penyumbang kepada salah laku pelajar di sekolah. - Gambar fail
Sekolah-sekolah di bandar lebih terdedah untuk terjerumus dalam gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah berbanding sekolah di luar bandar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata faktor persekitaran serta tekanan yang dihadapi juga dipercayai menjadi penyumbang kepada salah laku pelajar di sekolah.
Menurutnya, lazimnya hanya sekolah di bandar merekodkan penglibatan pelajar dalam kes dadah, buli dan jenayah.
"Masalah sosial di sekolah luar bandar tidak sama dengan di bandar kerana hubungan sekolah luar bandar dengan polis begitu intim. Jadi masalah-masalah yang berlaku dapat diselesaikan di peringkat yang lebih awal," kata Mohmad.
"Tidak ada isu-isu sosial yang melibatkan kanak-kanak di sekolah-sekolah luar bandar. Tidak macam di bandar. Di bandar dia terdedah kepada benda-benda yang negatif, tambah pula dengan masalah tekanan yang begitu teruk," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kelonggaran institusi keluarga di bandar juga menjadi faktor mengheret anak-anak dalam masalah sosial.
Mohmad berkata salah laku ini biasanya berlaku di peringkat sekolah menengah.
Tambahnya, setakat ini pihaknya tidak mengesan pembabitan pelajar sekolah rendah dalam isu dadah.
#buli #Dadah #masalah sosial #murid sekolah #pelajar sekolah #sekolah bandar #sekolah luar bandar
;