Masalah rumah tangga punca anggota tentera tembak diri sendiri, cederakan ibu mentua

Afiezul Samit
Oktober 13, 2021 20:47 MYT
Suspek kemudianya bertindak menembak diri sendiri di bahagian dagu dan mati di tempat kejadian.
KUCHING: Masalah rumah tangga menjadi punca seorang anggota tentera mengamuk dan melepaskan beberapa das tembakan sehingga mencederakan ibu mentuanya, sebelum dia menembak mati diri sendiri.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek yang berusia 28 tahun bertindak sedemikian kerana marah ketika sedang menyelesaikan masalah rumah tangga bersama isterinya yang mana masih dalam proses penceraian.
Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 12.45 tengah hari di Kampung Kolong 1, Jalan Sungai Tengah Jalan Matang Kuching pada Rabu.
"Semasa dalam perbincangan saspek telah marah dan bertindak mengambil senjata yang disimpan dalam kereta miliknya.
"Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan di dalam rumah sehingga salah satu das tembakan terkena ibu mentua mangsa.
"Dalam kejadian tersebut, ibu mentua mangsa yang berumur 58 tahun cedera di bahagian bahu sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan.
BACA: Askar mengamuk, tembak ibu mentua sebelum bunuh diri
Anggota tentera maut tembak diri sendiri
Suspek kemudianya bertindak menembak diri sendiri di bahagian dagu dan mati di tempat kejadian.
Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Untuk makluman, suspek meninggalkan balu berusia 22 tahun dan seorang anak perempuan, hasil perkahwinan mereka sejak dua tahun lepas.
Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi sendiri sehingga proses siasatan daripada pihak Polis selesai.
#tentera maut #tembak mati #Sungai Kolong Matang #Kuching #Sarawak
;