'Masalah perparitan punca banjir kilat di ibu negara' - Wan Junaidi
Wan Syamsul Amly
Mei 13, 2016 16:54 MYT
Mei 13, 2016 16:54 MYT
Masalah perparitan dalam bandar menjadi antara faktor banjir kilat yang berlaku di ibu negara pada Selasa.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sistem saliran longkang jalan yang tidak efisien menyebabkan air tersekat mengakibatkan banjir kilat di kawasan tertentu.
"La Nina datang awal dari dijangka. Banjir kilat ini berpunca dari masalah perparitan dalam bandar," katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, fenomena La Nina diramal melanda negara pada Jun.
"Kita sudah membuat pemeriksaan di Sungai Kelang dan mendapati ia masih satu meter di bawah paras banjir. Ia berpunca dari pembetung longkang yang tidak cukup besar untuk menampung air.
"Saya sudah meminta semua pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menghantar maklumat terperinci mengenai hal ini. Laporan akan diperoleh dalam masa satu minggu," kata Wan Junaidi.
Beliau mengulas tentang kejadian banjir kilat yang berlaku di empat jalan utama iaitu Jalan Bangsar, Jalan Semantan, Jalan Pantai Baharu dan Jalan Pudu kira-kira 7.30 malam pada Khamis.
Kira-kira 115 buah kenderaan pelbagai jenis terlibat di dalam kejadian itu selain 11 mangsa dilaporkan diselamatkan.
Dalam pada itu Wan Junaidi tidak menolak kemungkinan pembinaan stesen MRT di kawasan tertentu menjadi faktor banjir kilat tersebut.
"Pembangunan juga menjadi salah satu punca kejadian semalam. Kita tiada pelan induk yang merancang pembangunan sehingga menjadikan kejadian banjir yang tidak dapat dielak.
"MRT juga menyumbang kepada apa yang berlaku semalam. Saya akan bercakap dengan pihak MRT mengenai isu ini," jelasnya.
Katanya, JPS juga telah mengaktifkan signal amaran di Stesen Kg Kasipillay sebagai langkah awal dan melihat sistem saliran sedia ada perlu didalamkan selain kekerapan penyelenggaraan sebagai penyelesaian jangka pendek masalah berkenaan.
Bagaimanapun, untuk penyelesaian jangka panjang, Wan Junaidi mahu pihak berkaitan menaiktaraf sistem saliran di kawasan Jalan Duta, Universiti Malaya dan Bangsar untuk mengelakkan masalah sama berulang.
Mengikut data JPS, sebanyak tujuh insiden banjir kilat berlaku sepanjang 2014 dan lapan lagi sepanjang tahun lepas.