Masalah perkongsian talian internet selesai selepas Jun - Fahmi Fadzil

Faida Rahim
April 14, 2023 20:16 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pakej Perpaduan Projek Perumahan Rakyat (PPR)/ Perumahan Awam (PA) @ MyKabel di PPR Kerinchi hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Masalah perkongsian talian internet yang dihadapi oleh pengguna di seluruh negara dijangka bakal diselesaikan pada atau selepas Jun nanti.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan pihak kementerian akan menyelesaikan masalah ‘network sharing’ ini secara berfasa.
“Pihak kementerian akan melalui beberapa fasa. Ketika ini Perdana Menteri juga telah mengarahkan Kementerian Komunikasi dan Digital untuk adakan ‘review’ (semakan) pelaksanaan rangkaian internet pantas 5G, maka itu fokus kita sehingga selesai.
“Pada masa sama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengadakan siri perbincangan dengan syarikat telekomunikasi dan telah mengenal pasti cara untuk kita mendapatkan jurang dan menyelesaikan masalah talian internet di kalangan syarikat telekomunikasi,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pakej Perpaduan Program Perumahan Rakyat PPR/PA @Mykabel di PPR Kerinchi pada Jumaat.
Tambah Fahmi, pihak kementerian juga sudah mengadakan siri-siri perbincangan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi terlibat.
Menurutnya lagi, rangkaian capaian internet 4G diseluruh negara telah mencapai 96.92 peratus kawasan berpenduduk, namun tidak bermaksud semua syarikat telekomunikasi mempunyai capaian yang sama.
Maklum Fahmi lagi, lebih 60 peratus kawasan di Kuala Lumpur mempunyai kemudahan liputan jalur lebar setakat ini.
#SKMM #Fahmi Fadzil #Menteri Komunikasi dan Digital #Internet jalur lebar
;