Masalah penempatan tenaga kerja Indonesia di Malaysia perlu diselesaikan segera
Bernama
Julai 25, 2022 15:55 MYT
Julai 25, 2022 15:55 MYT
JAKARTA: Pejabat Staf Presiden Indonesia menggesa agar penempatan pekerja warganegaranya di Malaysia diselesaikan segera memandangkan sumbangan signifikan pekerja itu kepada kestabilan dan pembangunan ekonomi Indonesia.
Staf Pakar di pejabat itu, Fadjar Dwi Wisnuwardhani berkata penyelesaian segera masalah itu juga akan mengukuhkan aspek perlindungan dan meningkatkan peluang rakyatnya untuk bekerja.
Malaysia adalah antara negara terpenting dalam penempatan pekerja Indonesia dengan 1.6 juta pekerja di sektor perladangan, kilang dan domestik, katanya sebagaimana dilaporkan agensi berita Antara.
Menurut beliau, data Bank Indonesia juga menunjukkan jumlah kiriman wang pekerja warganya ke Indonesia sebelum pandemik Covid-19 sekitar AS$3 bilion atau 40 trilion rupiah setahun.
Indonesia menghentikan kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia buat sementara waktu sejak 13 Julai apabila mendapati Malaysia masih menggunakan saluran selain daripada 'One Channel System' meskipun telah dipersetujui melalui perjanjian persefahaman (MoU).
Bagaimanapun, Fadjar percaya Malaysia masih menghormati MoU itu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk menyelesaikan isu penempatan pekerja Indonesia di Malaysia.
-- BERNAMA