Masalah pendengaran antara penyakit pekerjaan tertinggi

Bernama
April 1, 2019 17:44 MYT
Selain masalah pendengaran, masalah kesihatan lain yang sering dihadapi pekerja ialah penyakit ergonomik iaitu berkaitan sendi, tulang dan otot yang menyebabkan sakit pada belakang dan pergelangan tangan. - Gambar hiasan/Pixabay
Masalah pendengaran akibat terdedah kepada bunyi bising keterlaluan di tempat kerja merupakan antara penyakit pekerjaan yang paling tinggi dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata masalah kesihatan lain yang sering dihadapi pekerja ialah penyakit ergonomik iaitu berkaitan sendi, tulang dan otot yang menyebabkan sakit pada belakang dan pergelangan tangan.
"Sebab itu kita menekankan tentang kepentingan pekerja atau majikan menjelaskan kepada doktor punca bagaimana masalah itu berlaku bagi mengenal pasti punca penyakit sama ada disebabkan kecuaian berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja atau sebaliknya.
"Dengan pengakuan tersebut, doktor berkenaan boleh membuat laporan kepada pihak berwajib untuk tindakan seterusnya dapat diambil," katanya pada sidang media selepas majlis pra sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2019 di sini pada Isnin. Hadir sama Ketua Pengarah JKKP Ir Omar Mat Piah.
Mahfuz berkata banyak kes kesihatan yang disebabkan pekerjaan dipercayai berlaku tetapi tidak dilaporkan dan ia menyukarkan pihak berwajib membuat analisis dan langkah pencegahan berkurang.
Beliau berkata ia mungkin terjadi disebabkan rendahnya budaya pencegahan di kalangan masyarakat dan elemen itu kini diberi tumpuan oleh kementeriannya menerusi Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) yang dilancarkan Februari lepas.
"Kita mahu pihak kerajaan, majikan dan pekerja secara aktif mempromosikan kewujudan persekitaran kerja yang selamat dan sihat dengan sektor awam menjadi pemangkin kepada penerapan budaya pencegahan tersebut," katanya.
Sementara itu, Omar berkata JKKP menganggarkan jumlah sebenar penyakit akibat pekerjaan di negara ini adalah tinggi berbanding laporan yang diterima jabatan itu setiap tahun.
Bagi tahun 2016 dan 2017, jumlah penyakit akibat pekerjaan yang dilaporkan adalah sebanyak 7,820 dan 6,020 kes, jauh lebih rendah berbanding kira-kira 40,000 kes kemalangan di tempat kerja yang dilaporkan.
"Sebab itu kita harapkan kesedaran mengenai pentingnya membuat laporan ditingkatkan kerana melaluinya aspek pencegahan dapat dirangka dan diperhebat pelaksanaannya," katanya.
Untuk dua bulan pertama tahun ini, Omar berkata sebanyak 13,000 notis dan 98 kompaun berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dikeluarkan dengan 14 kes dibawa ke mahkamah.
-- BERNAMA
#bunyi bising #JKKP #Mahfuz Omar #masalah kesihatan #Masalah pendengaran #Pekerja #penyakit ergonomik #sakit belakang
;