Masalah pencerobohan gajah liar akan diatasi dengan pagar elektrik
Nur Fazlizai Ali
Jun 25, 2021 10:23 MYT
Jun 25, 2021 10:23 MYT
KEMAMAN: Masalah ancaman dan pencerobohan gajah liar yang membelenggu lebih 200 pekebun di Hulu Kemaman akan diatasi dengan pemasangan pagar elektrik membabitkan kos sebanyak RM1.7 juta pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Azman Ibrahim berkata, pemasangan pagar berkenaan membabitkan dua kawasan iaitu di Kampung Ban Ho dan Kampung Air Putih.
Katanya, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti kawasan jajaran untuk dipasang kemudahan tersebut.
“Kebun-kebun atau pun ladang-ladang sebenarnya menjadi satu sumber makanan mudah bagi gajah, kegemaran gajah yang pertama kelapa, kedua kelapa sawit dan juga tanaman lain seperti pisang.
“Jadi kebun-kebun dan ladang sebenarnya adalah sumber makanan mudah bagi gajah,” katanya.
Beliau berkata, selain di kawasan Hulu Kemaman, beberapa lokasi lain seperti Kampung Pelong di Setiu dan Kampung Langkap, Permaisuri juga merupakan kawasan yang sering berlaku serangan gajah liar.
Azman berkata, sebagai bantuan awal, pihaknya akan menyalurkan saguhati menerusi tabung bencana pertanian negeri sebagai bantuan jangka pendek kepada pekebun terjejas.
Jelasnya, pekebun yang terlibat boleh membuat permohonan dan bayaran saguhati itu diharapkan dapat meringankan beban mereka serta memberi motivasi untuk melakukan penanaman semula.