Masalah pembelajaran tidak halang remaja OKU menyerlah di pentas

Bernama
Disember 19, 2022 06:45 MYT
M. Neranjan yang kini berusia 17 tahun membuktikan bakat dimilikinya tidak ada beza dengan remaja lain. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Melihat kelincahannya mempersembahkan tarian klasik India Bharatanatyam secara solo di atas pentas, tiada siapa menyangka remaja berkenaan adalah pelajar orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.
Mula mempelajari gerak tari tersebut sejak empat tahun lepas daripada ibu dan YouTube, M. Neranjan yang kini berusia 17 tahun membuktikan bakat dimilikinya tidak ada beza dengan remaja lain.
Walaupun mempunyai masalah pembelajaran, remaja ini hanya mengambil masa dua minggu untuk mengingati langkah tarian klasik tersebut.
"Saya sudah lama minat menari tapi dulu malu nak menari depan orang ramai sebab takut diejek dan diketawakan.
"Tapi guru dan ibu sentiasa bagi sokongan sehingga akhirnya saya berani untuk menari di depan orang ramai pada Deepavali tahun lepas dan kini saya tidak kisah lagi pandangan orang lain," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menjayakan Konsert ILHAM 2022 di sini pada Isnin.
Neranjan adalah antara lebih 10 penghibur pentas berbakat dalam kalangan OKU yang menjayakan konsert sehari dijalankan sebanyak dua sesi iaitu pada 3 petang dan 8 malam hari ini di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Pusat Beli-Belah 1 Utama.
Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Perdana itu berkata aktiviti tersebut secara tidak langsung juga meningkatkan keyakinan diri serta daya kreativitinya.
Selain tarian klasik India, Neranjan juga turut menyertai kumpulan tarian tradisional Melayu dan mahir dengan gerak tarian Bali.
Beliau yang juga minat melukis turut menyimpan hasrat untuk menjadi penari profesional suatu hari nanti.
-- BERNAMA
#remaja OKU #bakat #tarian klasik India #M Neranjan
;