Masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam, aktiviti sihat perlu dirancakkan - Mohd Zuki

Bernama
Ogos 3, 2024 04:20 MYT
Para peserta memulakan Larian MAPPA XIX 2024 dengan penuh semangat dan kegembiraan di Dataran Putrajaya hari ini. -Bernama
PUTRAJAYA: Aktiviti sihat perlu dirancakkan dalam perkhidmatan awam sama ada di peringkat agensi, kementerian mahupun perseorangan memandangkan kebanyakan penjawat awam menghadapi masalah obesiti.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata aktiviti itu perlu kerana masalah obesiti dalam kalangan rakyat melebihi 50 peratus dan kebanyakan melibatkan penjawat awam di Putrajaya.
"Jadi, penting untuk mereka ini terbabit dalam aktiviti sihat termasuk program larian sebagai permulaan menggalakkan mereka (hidup sihat)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Bebas Kenderaan (CFD) Putrajaya dan larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) XIX 2024 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mengenai sambutan Hari Kebangsaan, Mohd Zuki berkata semua jabatan dan agensi diminta menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan ini.
"Bermula 1 (Ogos) kebanyakan kementerian dan agensi telah mengambil inisiatif menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
"Selain mengibarkan Jalur Gemilang, mereka juga mengadakan program lain seperti bacaan puisi dan aktiviti bersifat patriotik," katanya.
Pada 21 Julai lepas, Anwar dalam majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 mengarahkan semua pihak termasuk sektor awam dan swasta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda taat setia, pengorbanan dan mendukung semangat kemerdekaan yang diperoleh tanah air sejak 67 tahun lalu.
Sementara itu, program CFD kembali dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) pada minggu keempat setiap bulan selepas kali terakhir penganjuran pada 2019.
Program itu bertujuan memberi peluang kepada penduduk sekitar menjalankan pelbagai aktiviti riadah sihat seperti berjalan kaki dan menaiki basikal.
Sepanjang tempoh CFD, penutupan jalan sepenuhnya akan dibuat di Dataran Putrajaya bermula dari Persimpangan Menara Prisma ke Persimpangan Menara Tulus.
-- BERNAMA
#Mohd Zuki Ali #penjawat awam #masalah obesiti #Fadillah Yusof