Masalah negara ASEAN mampu pulih dengan kewangan mampan - Dr Fithra Faisal

Faida Rahim
Mei 9, 2023 00:11 MYT
Dr Fithra Faisal berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia bermula 9 hingga 11 Mei dilihat langkah menyebarkan prinsip kekeluargaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Permasalahan infrastruktur, institusi dan hubungan undang-undang merupakan isu berbangkit yang dihadapi majoriti negara ASEAN sehingga kini.
Pengarah Eksekutif Next Policy Dr Fithra Faisal Hastiadi berkata, isu itu dapat diselesaikan dengan kemasukan wang yang banyak dan kerjasama lebih luas dengan negara luar ASEAN.
“Ada permasalahan termasuk infrastruktur, institusi dan ikatan hukum merupakan isu berbangkit yang dihadapi oleh majoriti di negara ASEAN. Tetapi untungnya masalah tadi kita boleh diselesaikan dengan pelaburan lebih banyak termasuk kerjasama dengan negara luar yang lebih meluas.
“Di satu sisi kita perlu tingkatkan domestic capacity untuk jadi rujukan sebagaimana dihadapi negara besar. Di sisi lain negara besar ini juga mampu kemudian enggage dengan negara ASEAN dengan membawa masuk lebih banyak pelaburan dan aktiviti berdagang,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Sementara itu, beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia bermula 9 hingga 11 Mei dilihat langkah menyebarkan prinsip kekeluargaan.
“Ia termasuk ruang membincangkan permasalahan di ASEAN termasuk isu etnik di Myanmar.
“Ini kerana ASEAN Way merupakan pertemuan di meja makan, paling penting di sini bagaimana menyebarkan prinsip kekeluargaan itu tanpa kita harus terhambat dengan beberapa kejadian yang membuat kita fokus dan lupa dengan kepentingan lain.
“Isu di Myanmar seharusnya menjadi tanggungjawab kita bersama termasuk isu China Selatan yang perlu diberi perhatian. Ada juga negara lain seperti China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan malah Amerika Syarikat juga sedar ASEAN sebagai titik pertemuan mereka. Mereka tidak akur antara satu sama lain tetapi ketika ada ASEAN di tengah, mereka boleh berjumpa,” jelasnya.
Agenda AWANI: Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, apa bakal kita dapat?
#ASEAN #Dr Fithra Faisal Hastiadi #titik pertemuan #prinsip kekeluargaan
;