Masalah mental kalangan remaja membimbangkan - kajian

Rahimah Abdullah
Oktober 9, 2018 21:45 MYT
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 mendedahkan, daripada kira-kira 5.5 juta remaja, seorang daripada 5 anak muda mengalami kemurungan.
Masalah kesihatan mental dalam kalangan anak-anak muda di negara ini disifatkan sebagai membimbangkan.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 mendedahkan, daripada kira-kira 5.5 juta remaja, seorang daripada 5 anak muda mengalami kemurungan.
Malah, seorang remaja dari 10 remaja direkodkan mengalami tekanan perasaan.
Lambat mendapatkan rawatan dan kurang mendapat perhatian serta sokongan keluarga menyebabkan masalah kesihatan mental dihadapi anak muda negara ini semakin parah.
Bagi Pengasas Yayasan Kesihatan Mental (MHF) Malaysia, Datuk Dr Abdul Aziz Abdullah, 27 peratus kalangan penduduk Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas yang mengalami masalah kesihatan mental sepatutnya diberi perhatian.
"Jumlah remaja yang mengalami masalah kesihatan mental sampai mencecah 27 peratus adalah membimbangkan dan kita harus waspada dan kena ambil langkah tepat serta mereka memerlukan rawatan berpanjangan.
"Kalau dibandingkan dengan negara lain, jumlah peratusan di negara ini agak tinggi. Jadi, kita perlu memikirkan bersama-sama bagi pihak kerajaan sendiri, dari pihak pelaksana dasar , pihak beri rawatan dan NGO," katanya dalam satu temubual dengan Astro AWANI.
Beliau melihat usaha mempromosikan kesihatan mental perlu dipergiatkan dalam memastikan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia.
Penggunaan gajet dan media sosial yang semakin meluas adalah faktor penyumbang kepada masalah sosial dan tekanan kepada remaja.
"Kalau kita tengok sekarang ini tekologi maklumat sangat meluas tanpa sempadan sampai menimbulkan pelbagai masalah selain daripada masalah tradisi yang kita lihat," ujar beliau.
Susulan itu, sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap 10 Oktober memilih tema Kesihatan Mental Remaja dan Belia Dalam Keadaan Perubahan Dunia selaras dengan masalah berkenaan.
"Tema Kesihatan Mental Remaja dan Belia Dalam Keadaan Perubahan Dunia memberi kesedaran mengenai pentingnya kesihatan mental untuk mewujudkan satu dunia yang aman dan harmoni. Keadaan mental anak muda kita tidak begitu baik buat masa ini. Jadi tema itu tepat untuk sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut tahun ini.
"Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia di PICC 11 Oktober ini, sekumpulan penyelidik akan mengulas mengenai langkah kerajaan, keluarga, masyarakat dan MHF untuk menangani perkara ini," tambahnya.
Dalam pada itu, Pusat Latihan MHF di Ampang telah berjaya memberi harapan kepada lebih seratus pesakit mental untuk kembali kepada kehidupan normal atau sekurang-kurangnya mampu bekerja.
Pengerusi MHF, Tan Sri Hashim Meon berkata, MHF adalah salah sebuah NGO yang berkaitan kesihatan mental dan menumpukan kepada mempromosikan kefahaman masyarakat terhadap masalah berkenaan.
"DI MHF kita tidak menjalankan rawatan sebab ia adalah tanggungjawab Kementerian Kesihatan, selain empat institusi mental yang telah wujud seperti Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, Hospital Permai di Tampoi, Hospital Sentosa di Kuching, dan Hospital Mesra di Kota Kinabalu.
"Malah, ada lebih 30 lagi pusat rawatan kesihatan mental seluruh negara. Tumpuan kita untuk membantu mempromosikan masalah kesihatan mental," kata beliau.
Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat Kebangsaan akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 11 Oktober ini.
#Ampang #Astro #Astro Awani #Azizah #Dr Wan Azizah Wan Ismail #Hospital #Kementerian Kesihatan #kerajaan #kesihatan #Kota Kinabalu #Kuching #Media #media sosial #NGO #Perdana Menteri #Putrajaya #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail
;