Masalah logistik punca lewat pindah pesakit dari rumah - Dr Noor Hisham

Madiha Abdullah
Disember 28, 2020 20:47 MYT
Kementerian Kesihatan ketika ini memberi tumpuan terhadap kumpulan tertentu seperti pekerja atau warga asing. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kelewatan membawa pesakit COVID-19 dari rumah ke hospital adalah berpunca daripada masalah logistik susulan peningkatan jumlah kes positif, terutama di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan ketika ini memberi tumpuan terhadap kumpulan tertentu seperti pekerja atau warga asing.
"Dalam kes pekerja asing contohnya, kita boleh sediakan pengangkutan seperti bas untuk pindahkan mereka ke pusat kuarantin di MAEPS.
"Tetapi bagi individu persendirian, proses pemindahan akan mengambil masa. Kita masih ada keupayaan untuk menampung pesakit di semua pusat kuarantin, tetapi masalahnya adalah isu logistik untuk memindahkan pesakit dari rumah," katanya dalam sidang media harian, di sini hari ini.
Sehubungan itu, pesakit yang masih menunggu untuk dibawa ke hospital diminta bersabar dan mengasingkan diri di rumah, serta sentiasa berhubung dengan pusat kesihatan daerah untuk mengetahui perkembangan terkini.
Ketika ini, katanya kapasiti katil di hospital-hospital di Selangor yang sudah terisi ialah 81 peratus; Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) (58 peratus); Pusat Kawalan Kusta Negara (84 peratus) dan Institut Latihan KKM Sungai Buloh (71 peratus).
"Tiada perubahan dalam SOP kerana kita masih akan kuarantinkan pesakit di pusat kuarantin atau hospital. Tetapi kita sedang pertimbangkan untuk mengkuarantin pesakit di rumah.
"Apapun, banyak kriteria yang perlu diteliti sebelum kita buat keputusan," katanya.
#COVID-19 #PKRC #pekerja asing #Kementerian Kesihatan #warga asing #SOP #KKM #Dr Noor Hisham Abdullah
;