Masalah komunikasi antara cabaran petugas hospital medan di Cox's Bazar

Bernama
Ogos 29, 2018 07:42 MYT
Pemandangan sekitar kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh, 3 Ogos, 2018. --fotoBERNAMA / Zakir Hossain Chowdhury/ZUMA Wire/dpa
Masalah komunikasi merupakan antara cabaran yang dihadapi petugas di Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox's Bazar, Bangladesh, dalam memberi rawatan kepada pelarian Rohingya.
Pengalaman berkenaan dikongsi oleh Kapten Dr Dalilah Diana Al-Aliy Mamu yang merupakan satu-satunya doktor gigi yang ditempatkan di hospital berkenaan.
Menurutnya, meskipun khidmat penterjemah digunakan namun adakalanya pelarian masih sukar memahami apa yang cuba disampaikannya.
"Kadang-kadang kita perlu cabut gigi mereka tetapi mereka berkeras tidak mahu kerana merasakan gigi itu masih elok...sukar untuk kita terangkan kepada mereka perkara sebenar sehingga menimbulkan salah faham," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangan Tim Operasi Starlight - 1 di Wisma Transit, di sini, pada Rabu.
Ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu berkata beliau merawat antara 20 hingga 25 pesakit sehari.
"Saya dibantu dua petugas, setiap hari kami memberi rawatan tampalan dan cabutan bukan sahaja kepada pelarian tetapi kepada anggota yang bertugas di sana juga," jelasnya.
Sementara itu, Komander Misi, Brig Jen Dr Adnan Abdullah berkata dianggarkan 100 hingga 180 pelarian menerima rawatan di hospital berkenaan setiap hari.
Katanya, seramai 16 doktor termasuk lapan pakar terlibat dalam operasi selama enam bulan itu.
"Hospital ini telah menjadi hospital rujukan bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana, mana-mana kes mereka tidak dapat rawat atau berlaku sebarang komplikasi akan dirujuk kepada HMM," katanya.
Selain itu, HMM dilengkapi dengan peralatan canggih dan berkeupayaan untuk membuat pembedahan laparoskopik (teknik melihat ke dalam perut tanpa melakukan pembedahan besar), katanya.
Lebih 23,000 pesakit telah dirawat di HMM di Cox's Bazar, Bangladesh sejak ia mula beroperasi pada Disember 2017.
Selain itu, sebanyak 754 prosedur pembedahan kecemasan dan elektif yang menyelamatkan nyawa telah dilakukan di samping 59 prosedur menyambut kelahiran bayi dan 1,813 rawatan pergigian.
-- BERNAMA
#Adnan Abdullah #Bangladesh #Cox's Bazar #Dalilah Diana Al-Aliy Mamu #Doktor gigi #HMM #Hospital #Hospital Medan Malaysia #Malaysia #NGO #operasi #pelarian #penterjemah #pesakit #Rohingya
;