Masalah kekurangan guru di SJKC kini telah diatasi

Bernama
Januari 24, 2017 21:14 MYT
SIN WOON: Masalah kekurangan guru di SJKC di seluruh negara kini diatasi apabila kekosongan jawatan guru berkenaan telah diisi. - Gambar fail
Masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara kini diatasi apabila kekosongan jawatan guru berkenaan telah diisi.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata seramai 823 orang guru baharu telah mendaftar untuk melapor diri di SJKC di seluruh negara semalam.
Malah, katanya berdasarkan rekod, terdapat kekosongan 312 jawatan guru di SJKC sehingga 31 Mac depan berikutan terdapat guru dan guru besar yang bersara pilihan dan wajib.
"Jadi, kita akan membuat satu lagi pengisian jawatan berkenaan pada bulan April, di samping itu, saya juga mengarahkan Bahagian Sumber Manusia dan Bahagian Sumber Sekolah Harian untuk melihat satu lagi pengisian pada bulan Ogos nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina 2017 di SJKC Kuo Min di sini, hari ini.
"Selama ini kita menghadapi masalah kekurangan guru di SJKC di seluruh negara tetapi kali ini (pada tahun ini) kita ada lebihan guru...tidak ada lagi isu kekurangan guru pada tahun hadapan. Ini kerana kita telah membuat pengisian jawatan guru dan guru besar pada tahun ini," katanya.
Chong berkata secara purata seramai kira-kira 700 orang guru dan guru besar bersara setiap tahun.
Sementara itu, beliau berkata seramai 30 orang guru baharu mendaftar di SJKC di Negeri Sembilan bagi mengisi kekosongan guru di SJKC di negeri ini.
"Lima buah SJKC di negeri ini yang sebelum ini terdapat kekosongan jawatan guru besar pun telah diisi. Jawatan pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa, Seremban yang kosong lebih setahun juga telah diisi," katanya.
-- BERNAMA
#Bahagian Sumber Manusia #Bahagian Sumber Sekolah Harian #Datuk Chong Sin Woon #SJKC
;