Masalah kekurangan bekalan gula di Labuan selesai Rabu ini - Armizan
Bernama
Januari 15, 2024 00:46 MYT
Januari 15, 2024 00:46 MYT
CYBERJAYA: Masalah kekurangan bekalan gula di Labuan dijangka selesai selewat-lewatnya Rabu ini dengan kemasukan bekalan sebanyak 118.90 metrik tan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata sebaik dimaklumkan mengenai gangguan bekalan gula di Labuan melalui aduan rasmi oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, beliau telah meminta ibu pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mengambil tindakan serta merta.
"Bekalan gula tambahan dari Pelabuhan Klang telah bergerak ke Labuan. Insya-Allah masalah ini akan pulih," katanya pada sidang media selepas menghadiri pertandingan akhir Debat Kepenggunaan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024 Piala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sini pada Isnin.
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan masalah kesukaran mendapatkan bekalan gula di Labuan. Masalah sama turut diluahkan pengguna di laman media sosial Facebook.
Mengulas punca kepada permasalahan itu, Armizan berkata faktor kedudukan Labuan yang jauh dari lokasi punca bekalan gula, menjadi isu utama hingga memberi kesan yang serius dalam rantaian penghantaran bekalan.
-- BERNAMA