Masalah helikopter, misi petugas kesihatan ke Long Jeeh ditangguhkan
Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 28, 2021 14:40 MYT
Januari 28, 2021 14:40 MYT
MIRI: Perjalanan pasukan perubatan ke Rumah Panjang Long Jeeh di Ulu Baram terpaksa ditangguhkan hari ini susulan masalah teknikal pada helikopter.
Helikopter yang sepatutnya membawa dua doktor, dua pegawai perubatan dan seorang jururawat itu yang dijadual berlepas sekitar jam 8.30 pagi tadi mengalami masalah teknikal dan perlu di periksa semula sebelum dibenarkan berlepas.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata pasukan perubatan berkenaan dihantar untuk melakukan ujian calitan COVID-19 kepada semua penduduk di kawasan tersebut.
“Namun saya telah dimaklumkan petang semalam bahawa helikopter yang sepatutnya diterbangkan hari ini, perlu diperiksa semula.
"Justeru penjadualan semula dilakukan dan kali ini melibatkan dua helikopter daripada Hornbill Skyways dan Medevac daripada Layang Layang Aerospace,” jelasnya.
Kim Shin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengesahkan pasukan perubatan berkenaan akan diterbangkan pada 8:30 pagi Jumaat menggunakan helikopter gantian dari Kuching.
“Helikopter Medevac akan mengangkut semua hasil saringan, dan helikopter skyways akan membawa petugas kesihatan yang akan melakukan kesemua ujian saringan dalam masa satu hari sebelum pulang menggunakan helikopter yang sama”, katanya.
Tambahnya, ujian saringan COVID-19 perlu dilaksanakan selepas dua kes positif dikesan dan dilaporkan dari kawasan Rumah Panjang Long Reeh.
Kesemua lima blok rumah panjang di kampung itu akan dikenakan perintah sekatan pergerakan selama 14 hari bermula 26 Januari hingga 9 Februari depan.
Rumah panjang bangsa Kenyah ini terletak sekitar 7 jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Bandar Raya Miri.
Sebelum ini lima buah rumah panjang di kawasan Beluru, Miri telah dikenakan perintah sekatan pergerakan iaitu Rumah Panjang (Rh) Emah, Rh Apol, Rh Anthony, Rh Chabu dan Rh Justine.