Masalah disiplin remaja antara tiga cabaran utama dihadapi kaum ibu - Nancy

Bernama
Mei 12, 2024 15:30 MYT
Raja Permaisuri Agong berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahmah Mohtar (tiga, kiri) pada majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 hari ini. - Foto Bernama
MELAKA: Masalah disiplin remaja merupakan antara tiga cabaran utama dihadapi kaum ibu ketika ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata cabaran itu dikenal pasti menerusi Kajian Penduduk dan keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
"Ia diikuti pendidikan anak dan perbelanjaan keperluan keluarga," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 bertemakan 'Terima Kasih Ibu' di Pusat Keluarga LPPKN Ayer Keroh di sini hari ini.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Ab Rahman.
Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Ab Aziz.
Pada majlis berkenaan, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahamah Mohtar, 61, dari Kapar, Selangor atas kegigihannya membesarkan anak bongsunya Ahmad Mujahid Azmi, 21, yang mengalami cerebral palsy.
Dalam pada itu, Nancy berkata penemuan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) menunjukkan skor Indikator Kualiti Masa Bersama Keluarga dan Indikator Imbangan Masa Kerja-Keluarga merosot dalam siri IKK 2022 berbanding siri sebelumnya pada 2019.
"Rata-rata ibu bekerja banyak menghabiskan masa mereka dengan rutin harian yang padat. Mereka perlu bangun seawal pagi bagi menguruskan anak dan keluarga, keluar bekerja dengan purata masa lapan hingga sepuluh jam sehari, pulang ke rumah lewat petang atau awal malam dan terus menyambung tugasan sebagai isteri dan ibu di rumah.
"Namun begitu, kita harus sedar tanggungjawab dalam membesarkan anak dan mengurus rumah bukanlah semata-mata tugas seorang ibu sahaja, oleh itu adalah penting bagi suami untuk memahami dan menghargai sumbangan isteri mereka serta turut berkongsi tanggungjawab dalam mengurus rumah tangga dan anak-anak," katanya.
Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 menerusi Program Semarak Wanita sebgai galakan kepada kaum wanita untuk menyertai segala program pembangunan dan pemerkasaan di negeri itu.
Katanya, dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Melaka juga berjaya mewujudkan Rumah Perlindungan Wanita Negeri Melaka di sebahagian kawasan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) selaras dengan usaha mendukung agenda kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA
#masalah disiplin remaja #Nancy Shukri #cabaran #Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
;