Masalah dengan kekasih punca pelancong asing jatuh bangunan - Polis

Bernama
Februari 6, 2025 19:36 MYT
Abdul Rozak berkata maklumat itu diperoleh hasil temu bual dengan keluarga mangsa namun setakat ini pihaknya belum dapat mengambil keterangan daripada mangsa sendiri. - Gambar fail/Sinar Harian
GEORGE TOWN: Masalah dengan kekasih dipercayai punca seorang pelancong asing terjatuh dari tingkat tujuh sebuah bangunan pusat membeli-belah di Persiaran Gurney, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata maklumat itu diperoleh hasil temu bual dengan keluarga mangsa namun setakat ini pihaknya belum dapat mengambil keterangan daripada mangsa sendiri.
"Lelaki itu mempunyai kerakyatan Amerika Syarikat dan datang ke sini bersama keluarganya untuk melancong sejak 1 Feb lepas dan mereka dijangka pulang pada 12 Feb ini. Keluarga memaklumkan mangsa ada masalah perhubungan tetapi siasatan masih dijalankan.
"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semalam, seorang pelancong warga asing berusia 25 tahun cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney.
Gambar mangsa terjatuh di atas bumbung replika bangunan dekorasi Tahun Baharu Cina tular di media sosial.
-- BERNAMA
#media sosial #pelancong #Persiaran Gurney #warga asing
;