Masalah dalaman UMNO Selangor dianggap selesai - Johan
Astro Awani
November 30, 2013 07:42 MYT
November 30, 2013 07:42 MYT
Masalah dalaman badan perhubungan UMNO Selangor dianggap selesai menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.
Setiausaha badan perhubungan UMNO negeri, Datuk Johan Abdul Aziz berkata perwakilan mulai jelas dengan misi dan visi kepimpinan tertinggi baharu bagi merampas semula negeri itu daripada pentadbiran Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Katanya beberapa perjumpaan tertutup telah diadakan bagi membincangkan isu berbangkit dari hati ke hati bagi mencapai kata sepakat.
"Jadi tidak ada perkara mustahil untuk kita bersatu dan juga untuk bertekad untuk menghadapi PRU-14, untuk merampas kembali Selangor," kata Johan.
Faktor kekalahan UMNO Selangor pada PRU lalu juga turut dikenal pasti, selain momentum bersemangat yang dibawa para perwakilan perhimpunan agung kali ini.
Pada PRU-13 Barisan Nasional (BN) hanya menang 5 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor daripada 22 kerusi.
Sebelum ini banyak desas desus terutama di laman sosial yang mengatakan keretakan UMNO Selangor berpunca daripada perselisihan faham antara bekas setiausaha perhubungan negeri Datuk Seri Mohd Zin dan pengerusi perhubungan UMNO sekarang Datuk Seri Noh Omar.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, perwakilan kali ini disifatkan sudah bersedia dan membuktikan kesepakatan antara mereka sudah di tahap tinggi.
"Dan saya lihat momentum kali ini amat baik kerana kita harus melihat PRU 13 baru-baru ini UMNO telah meningkatkan jumlah kerusi"
Dalam pada itu Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata usul yang dibawa kali ini merupakan tumpuan kepada golongan pertengahan yang disifatkan kumpulan sasar yang harus dibela di negeri itu.
"Andai kata suara kita dihalang ataupun suara kita disekat saya rasa suara akar umbi tidak akan sampai pada pemimpin itu. Oleh itu nanti akhirnya suara itu apabila suara kita tidak didengar, ketidakpuasan hati akan timbul"
Ismail merupakan satu-satunya Ketua UMNO Bahagian di Selangor yang mengekalkan jawatan bagi penggal 2013 sehingga 2016 walau dicabar empat calon lain.
#Irmohizam Ibrahim
#Ismail Kijo
#Johan Abdul Aziz
#Mohd Zin
#Noh Omar
#Pakatan Rakyat
#Pilihanraya Umum
#PRU-14
#UMNO