"Masalah beg sekolah berat memerlukan masa untuk selesaikan" - Mahdzir

Adie Sufian Zulkefli
Februari 26, 2018 16:57 MYT
Masalah beg sekolah berat dihadapi murid, terutama pelajar tahun satu, sehingga ada yang mencecah hampir 10kg. - Foto fail
Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan garis panduan kepada sekolah bagi menanangi masalah beban beg sekolah berat.
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata masalah itu mungkin memerlukan masa untuk diselesaikan sehingga pembelajaran secara digital dilaksanakan sepenuhnya.
"Akan sampai ke satu peringkat pembelajaran secara interaktif, di mana bahan pelajaran akan dimuat naik ke alam maya. Pada masa itu mungkin masalah beban beg sekolah berat ini akan berkurangan.
"Tetapi perkara ini hanya akan dapat dilaksanakan dalam masa tiga atau empat tahun akan datang," katanya.
Bagi memastikan perkara ini berkesan, Mahdzir berkata, pihaknya sudah mengadakan kajian rawak dan hasilnya menunjukkan masalah ini paling banyak berlaku di sekolah aliran Cina.
Hasil kajian turut menunjukkan purata berat beg sekolah pelajar sekolah rendah tersebut adalah 7.3kg.
BACA: Beg sekolah berat: Tiba masa pihak swasta hulur tangan sediakan lokar
BACA: Beg murid sekolah memang berat, maka apa langkah seterusnya?
Astro AWANI sebelum ini melaporkan masalah beg sekolah berat dihadapi murid, terutama pelajar tahun satu, sehingga ada yang mencecah hampir 10kg.
Tinjauan sebelum ini juga menunjukkan beberapa sekolah menyediakan loker dan rak khusus untuk murid menyimpan buku di dalam kelas, selain ada yang melaksanakan jadual anjal.
#beg sekolah #berat #Kementerian Pendidikan #Mahdzir Khalid #masalah #pembelajaran interaktif
;