Masalah anjing liar ancam penduduk tempatan
Salim Aziz
Januari 30, 2018 14:25 MYT
Januari 30, 2018 14:25 MYT
Penduduk di sekitar Pokok Sena mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah anjing liar di kawasan tersebut.
Ini kerana insiden anjing liar yang kerap melakukan serangan dan menggigit penduduk daerah itu kian kerap berlaku.
Ia membabitkan lebih 2,000 penduduk terutamanya di Kampung Baru, Taman Bandar Baru dan Kampung Jambu.
Kata mereka, lebih 50 ekor anjing liar dikesan berkeliaran mencari 'mangsa' di situ.
Bilangannya juga bertambah sejak ada yang memberi makan kepada anjing-anjing berkenaan.
Penduduk memberitahu, mereka takut untuk keluar kerana bimbang diserang anjing liar yang bertindak agresif setiap kali terserempak dengan manusia.
Mereka khuatir jika ada di antara anjing-anjing liar itu yang dijangkiti virus anjing gila (rabies).
“Kadang-kadang bila kita berjalan bawa makanan, dia (anjing) akan ikut kita. Banyak orang nak berniaga pun susah,” kata seorang pelajar, Nor Khalilah Md Rafi.
Menurut peniaga kedai makan, Bibah Hassan, kedua-dua anaknya pernah terjatuh sehingga luka akibat cuba mengelak dikacau anjing-anjing liar berkenaan.
Seorang peniaga ayam, Abidin Ahmad, pula berkata: “Saya harap pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah anjing liar ini kerana ia menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat.
Penduduk mendakwa, masalah ini sudah beberapa kali diajukan kepada pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Jabatan Veterinar.
Namun bilangan anjing liar di kawasan itu makin bertambah.
#anjing liar
#Jabatan Veterinar
#Kampung Baru
#kampung jambu
#Majlis Bandaraya Alor Setar
#MBAS
#pokok sena
#rabies
#taman bandar baru