Masalah 'along' akan selesai jika tiada permintaan untuknya - Nur Jazlan
T K Letchumy Tamboo
Mac 29, 2016 15:26 MYT
Mac 29, 2016 15:26 MYT
Selagi ada permintaan untuk perkhidmatan pinjaman dari 'along' atau ceti haram, selagi itulah masalah itu sukar untuk dibendung, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Oleh yang demikian, katanya mereka yang suka meminjam dari along perlu ada didikan dan kesedaran tentang kesan daripada perbuatan mereka itu.
"Kebanyakkan mereka yang suka meminjam (dari along) adalah orang yang suka berjudi dan bersosial. Kalau orang itu betul-betul perlukan pinjaman, dia tidak pergi kepada along.
"Tapi kadang-kadang ada tabiat mereka yang perlu dibiayai oleh pinjaman dan mereka sanggup meminjam. Lepas itu, masalah yang timbul daripada itu, ialah orang lain seperti keluarga kena tanggung," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah) mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk membanteras kegiatan along.
Nur Jazlan berkata, kerajaan sudah mengadakan banyak aktiviti membanteras sindiket tersebut, namun ia terpulang kepada kesedaran masyarakat untuk mengetahahui bagaimana mereka boleh elak dari meminjam dari pihak along.
Katanya, antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah pendekatan 'hit their pockets' melalui Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Wang 1991 dan Seksyen 29 AA Akta Pemberi Wang 1991.
"Dalam hal ini peminjam along tahu mana peminjam berlesan dan mana tidak.
"Daripada siasatan PDRM, punca orang meminjam dari along adalah kerana ia mudah dan cepat, tiada had yang ditetapkan asalkan mereka boleh bayar balik jumlah pinjaman, tidak perlukan dokumen sokongan selain ATM dan alamat premis perniagaan atau rumah," katanya.
Tambahnya, seramai 51 along telah ditahan pada tahun 2011 di mana 25 daripadanya telah dituduh di mahkamah.
"Pada tahun 2012, seramai 206 along ditangkap dan 95 daripadanya dituduh. Pada tahun 2013, seramai 199 along ditangkap dan 54 daripadanya dituduh.
"Pada tahun 2014, seramai 98 along ditangkap dan 90 daripadanya dituduh. Pada tahun 2015, seramai 351 along ditangkap dan 44 daripadanya dituduh."