Masalah air: Tiga kategori pengguna jadi keutamaan - TPM

Adie Sufian Zulkefli
Mei 16, 2023 18:36 MYT
Ahmad Zahid sewaktu meninjau situasi terkini takungan air Empangan Muda yang dikendalikan MADA di Gubir, hari ini. - Foto Astro AWANI
SIK: Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi tempoh pertengahan bulan Mei hingga akhir September yang dijangkakan berdepan monsun barat daya untuk memastikan bekalan air terhadap sektor pertanian, industri dan kegunaan domestik tidak terjejas teruk.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketiga-tiganya menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan bekalan air hanya terjejas pada kadar paling minimum.
Menurutnya lagi, kerajaan telah bersiap siaga agar jangkaan kekurangan air tidak akan menjejaskan sektor tanaman padi khususnya di negeri Kedah selain penyaluran bekalan air bagi dua musim penanaman padi berterusan.
Jelasnya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga memberi jaminan kadar takungan air setakat ini mencukupi untuk kegunaan.
"Kekurangan air disebabkan oleh musim kemarau yang melibatkan pengguna-pengguna domestik dan juga pengguna untuk pertanian sawah padi dan yang ketiganya pengguna industri. ini adalah kerana di dalam jangkaan meteorologi dan juga hidrologi kita dapati bahawa kadar luruan (kadar turun) hujan akan berkurangan disebabkan oleh monsun pada kali ini.
"Maka langkah-langkah telah dilakukan antara kerajaan Pusat khususnya melalui Nadma dan juga lain-lain kementerian, jabatan dan agensi untuk menyelaraskan semua pemasalahan ini dengan pihak kerajaan negeri dan juga kepada kerajaan tempatan kerana di kawasan empangan MADA ianya merupakan antara sumber untuk bekalan air ke Pulau Pinang, sama ada untuk industri atau pun untuk domestik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau situasi terkini takungan air Empangan Muda yang dikendalikan MADA di Gubir, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, langkah-langkah berkenaan bukan sahaja akan dikoordinasikan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tetapi turut melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain yang menguruskan perkara itu.
Menurutnya, koordinasi juga telah dilakukan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain kerjasama dengan syarikat pembekal dan badan pengurusan air peringkat negeri.
Tambahnya, terdapat tujuh sumber air yang akan terjejas dalam tempoh monsun barat daya dengan dua daripadanya berada di Kedah, empat lagi lokasi masing-masing dua di Perak dan Selangor serta satu di Sarawak.
"Mengikut keperluan perbincangan yang telah diadakan di dalam Jawatankuasa Bencana Pusat tadi, berdasarkan keperluan jika taraf air sebelum sampai ke taraf bahaya sekalipun usaha-usaha secara saintifik kita lakukan dengan kerjasama TUDM dan juga Jabatan Meteorologi dan juga usaha hidrologi melalui Jabatan Pengairan Saliran (JPS)," katanya lagi.
#masalah air #Zahid Hamidi #muda #sektor pertanian #sik
;