Masalah air: KSU kementerian akui LRA Langat 2 sepatutnya dibina
Fareez Azman
Oktober 19, 2020 13:44 MYT
Oktober 19, 2020 13:44 MYT
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang mengakui tempoh penangguhan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 sebelum ini antara punca bekalan air tidak dapat dibekalkan apabila pencemaran berlaku di Sungai Selangor.
Menurutnya, pembinaan LRA Langat 2 sepatutnya dibina lima tahun lalu dengan kapasiti 1,000 juta liter sehari (MLD) yang boleh membekalkan air kepada penduduk di Lembah Klang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
"Loji Rawatan Air Langat 2 baru 400 juta liter sehari (MLD) siap, sedangkan kapasiti 1,000 MLD. Kita ada 600 MLD untuk ditambah lagi di LRA Langat 2.
"Perancangan air ini mengambil masa 10 tahun ke depan. Sebab kita lambat bertindak, tertangguh lima tahun, sepatutnya kita buat benda (bina LRA Langat 2) ini dalam tahun 2015 lagi," katanya dalam sidang media pada Isnin.
Mei lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata menjelang Ogos LRA Langat 2 akan menambah sebanyak 325 MLD sekali gus dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan air.
Ia juga dapat meningkatkan rizab air terawat di negeri Selangor dari tiga peratus kepada tujuh peratus.
Manakala Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memberitahu projek LRA Langat 2 dijangka siap pada akhir 2023.
LRA Langat 2 mula dibina pada 2014 bagi memenuhi permintaan tinggi di Lembah Klang akibat pertumbuhan yang pesat serta mengelakkan krisis air menjelang 2020.
Projek bernilai RM8 bilion ini mampu membekalkan 1,130 MLD apabila siap sepenuhnya.
#masalah air
#loji rawatan air
#LRA
#Air Langat
#Zaini Ujang
#Air Selangor
#Sungai Selangor
#pencemaran air