Masalah air di Mersing selesai dalam tempoh 6 bulan - MB Johor
Astro Awani
Ogos 31, 2016 13:48 MYT
Ogos 31, 2016 13:48 MYT
Kerajaan negeri Johor akan membuat penyaluran air dari Sungai Lenggor ke Loji Rawatan Air Tenglu di Mersing bagi menyelesaikan krisis air yang melanda daerah itu sejak April lalu.
Penyaluran itu dibuat serta merta secara berperingkat yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kos penyaluran air sejauh 30 kilometer menelan belanja hampir RM50 juta.
"Bagi mengatasi isu air seperti di Mersing, kita sudah memutuskan secara serta merta untuk membuat sambungan pemindahan air dari Sungai Lenggor.
"Ia akan melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta serta merta dan kita harus tahu juga kita memerlukan kerjasama rapat dengan kerajaan Pusat kerana kira perlukan persetujuan peruntukan dan sebagainya. Bagaimanapun, kita tidak boleh menunggu dan kita dulukan dengan bajet atau peruntukan negeri," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini.
Krisis air di Mersing berpunca daripada keadaan Empangan Congok, Mersing yang dikesan semakin kritikal akibat kurang taburan hujan.
Ia mengakibatkan empangan berkenaan mengalami penurunan paras air secara mendadak sehingga catuan air perlu dibuat selama lebih empat bulan.