Masalah air di Kelantan selesai menjelang 2028

Sinar Harian
November 24, 2024 14:45 MYT
Antara LRA yang dibina di Kelantan. Gambar kecil: Izani
KOTA BHARU: Isu bekalan air di negeri Kelantan dijangka selesai menjelang 2028 melalui 54 loji rawatan air (LRA).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, setakat ini, hanya terdapat 43 LRA di seluruh negeri dan tidak mampu menampung keperluan rakyat Kelantan.
“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai bekalan air untuk rakyat negeri ini.
“Untuk menyelesaikan masalah ini, kita menjangkakan pertambahan LRA di negeri kepada 54 pada 2028 berbanding yang ada ketika ini hanya 43 LRA,” katanya pada Persidangan Kali Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri, Kamaruzaman Mohamad (Pas-Gual Periok) berkait perkembangan proses baik pulih sumber air bersih Air Kelantan Sdn Bhd untuk Rantau Panjang.
Izani memberitahu, pihaknya juga sedang mengusahakan pembinaan LRA Kelar 2 di Pasir Mas juga dijangka siap pada 2028 dengan kapasiti sebanyak 2.5 juta liter sehari berbanding bekalan sedia ada kini hanya 1.35 juta liter sehari.
“Setakat ini LRA Kelar 2 sudah lulus dan dijangka Disember ini dapat selesai berkait tender,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, tindakan menyediakan lori tangki dalam tempoh panjang di kawasan pembinaan LRA akan merugikan kerajaan negeri.
“Bekalan air yang dihantar menggunakan lori tangki itu diberikan secara percuma dan ditanggung oleh kerajaan negeri.
“Sekiranya berlanjutan akan merugikan kerajaan negeri, bagaimanapun kami akan memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambah ADUN Kajang itu, pihaknya pada pembentangan belanjawan baru-baru ini juga memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM2 juta untuk membina telaga tiub untuk kawasan pinggiran termasuk di Rantau Panjang sebagai tindakan jangka pendek sementara menunggu kesemua LRA siap dibina. - Sinar Harian
#Kelantan #isu bekalan air #LRA baharu #masalah air
;