Masalah air bersih di pantai timur Sabah perlu perhatian

Ridzal Abdullah
Februari 2, 2021 09:07 MYT
Penduduk Tawau mendakwa, penderitaan sudah berlarutan selama beberapa tahun, tanpa perhatian pihak berwajib. - Astro AWANI
TAWAU: Penduduk di beberapa perkampungan di kawasan Tawau berharap kerajaan dapat mencari penyelesaian berhubung masalah bekalan air yang dihadapi.
Mereka mendakwa, penderitaan sudah berlarutan selama beberapa tahun, tanpa perhatian pihak berwajib.
Tanpa air bersih, sukar bagi penduduk menjalankan aktiviti harian dan ada masanya mereka guna air dari sungai berdekatan selain air hujan yang ditadah.
Sementara alternatif lain adalah beli air mineral untuk keperluan air minum dan memasak.
Latipah Jamaran akui, bekalan air bersih sudah disalurkan sejak lima tahun lalu, namun masalah catuan pula jadi kekangan ketika ini.
“Masalah kami di kampung ini adalah masalah air. Sebenarnya kerajaan sudah bekalkan air bersih kepada kami beberapa tahun yang lalu tetapi masalahnya sekarang adalah tekanan air yang rendah.
“Kami hanya akan mendapat bekalan air sekali setiap 10 hari. Bayangkanlah 10 hari menunggu. Jadi kami terpaksa mencari alternatif lain iaitu dengan menadah air hujan atau mengambil air sungai untuk kegunaan harian,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Penduduk juga terpaksa bersedia setiap masa kerana catuan air dibuka pada waktu malam.
“Bekalan air selalunya akan tiba bermula 11 malam sehingga 5 pagi jadi saya tidak dapat tidur.
“Masalahnya sekarang, suami dan anak saya mengidap penyakit buah pinggang, jantung, paru-paru, kencing manis dan darah tinggi. Saya terpaksa membeli air mineral untuk mereka minum.
“Jika kami berkemampuan tidak mengapa, tapi kami tidak berkemampuan. Jadi kami memohon kepada pihak kerajaan atau mana-mana pihak yang sudi membantu kami memudahkan mendapat bekalan air di sini,” katanya lagi.
Masalah dihadapi ini sudah berkali-kali diadukan kepada Jabatan Air Sabah, namun tiada penyelesaian sehingga kini.
“Kami telah membuat aduan sebanyak empat kali sebelum ini. Apabila kami menghubungi hotline mereka kata mereka akan menghantar juruteknik namun masalah ini berlarutan,” kata seorang lagi penduduk Nurafidah Wan Ahmed.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ambil maklum masalah air dihadapi penduduk.
Untuk penyelesaian jangka pendek, pihaknya akan membina sebuah tangki besar.
“Ketika ini kami dalam proses mengenalpasti tempat yang sesuai untuk meletakkan tangki air ini. Maknanya tempat itu adalah tempat orang awam dan bukan tempat persendiriran, untuk dibina tangki yang besar.
“Ini supaya apabila terdapat masalah bekalan air, penduduk di kawasan sekitar dapat menggunakan air yang ada di dalam tangka ini,” jelasnya.
Nizam juga turut menggesa kerajaan meneruskan projek empangan air di Loji Penapis Air Cinta Mata di Jalan Gudang Empat yang bernilai RM450 juta.
Projek itu katanya akan dapat menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk Tawau.
#bekalan air #Tawau #air sungai #air hujan #Jabatan Air Sabah #Nizam Abu Bakar Titingan #Loji Penapis Air Cinta Mata #Jalan Gudang Empat
;