Masak mi segera di stesen minyak: Empat didakwa esok

Sinar Harian
Mei 20, 2024 17:20 MYT
Video berdurasi satu minit dua saat yang tular menunjukkan beberapa individu sedang melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih.
KUALA LUMPUR: Empat daripada 15 individu yang ditahan menjalankan aktiviti memasak mi segera di kawasan stesen minyak di Genting Highlands baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Bentong pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, keempat-empat individu itu dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
"Seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 24 tahun akan didakwa esok.
"Seramai 11 lagi individu yang ditahan telah dibebaskan dan mereka akan menjadi saksi kepada kes ini," katanya ringkas dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut mengesahkan tiada penglibatan anak timbalan menteri daripada 15 individu yang ditahan pada Sabtu sebagaimana ditularkan di laman sosial.
Pada 13 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan penularan satu klip video di laman sosial memaparkan sekumpulan individu 'berkelah' dan memasak di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands, mengundang kecaman netizen kerana bimbang tindakan itu akan membahayakan keselamatan.
Video berdurasi satu minit dua saat yang tular menunjukkan beberapa individu sedang melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih.
Turut kelihatan dalam video berkenaan sebuah kereta peronda memasuki stesen minyak tersebut, namun kumpulan terbabit tidak menghiraukan kehadiran pihak polis dan menyambung aktiviti yang dilakukan.
Sebelum itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan penahanan 15 individu termasuk lima wanita selepas mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada Sabtu.
Katanya, kesemua mereka berusia antara 23 hingga 28 tahun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.
Menurut Yahaya, polis masih dalam proses merakam percakapan saksi ketika kejadian.
"Ini bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya.
"Setakat ini, keterangan empat saksi sudah diambil bagi membantu siasatan kes," katanya. - Sinar Harian
#masak mi segera di stesen minyak #Genting Highlands #video tular #kes mahkamah
;