Masak jam 5 pagi, wanita ditampar rakan serumah sebab bising
Afiezy Azaman
Mac 11, 2022 11:00 MYT
Mac 11, 2022 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya disebabkan tidur terganggu disebabkan oleh bunyi bising memasak, seorang wanita bertindak menampar rakan serumahnya di kediaman mereka di Petaling Jaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, kejadian berlaku pada jam 5 pagi melibatkan kedua-dua wanita warga tempatan berusia 30an.
"Polis menerima laporan daripada mangsa yang dipukul oleh rakan serumahnya semasa dia sedang masak dan kejadian dipercayai berpunca daripada bunyi bising di bahagian dapur yang menanggu rakannya yang sedang tidur.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
"Pihak polis turut telah merakam keterangan daripada kedua-dua individu berkenaan untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Pada Rabu lalu, tular di media sosial video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang wanita yang sedang memasak di dapur telah didatangi rakan serumahnya dan ditampar wanita terbabit.